Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan dana disalurkan dalam Belanjawan 2026 perlu dimanfaatkan secara optimum bagi memastikan rakyat menerima sepenuhnya faedah daripada peruntukan kerajaan.

Beliau berkata, terdapat situasi di mana peruntukan disediakan, namun tidak dibelanjakan sepenuhnya, sekali gus menyebabkan matlamat asal kerajaan membantu rakyat tidak tercapai sepenuhnya.

“Justeru, tumpuan saya lebih kepada pelaksanaan. Sebab itu, kaedah pemantauan harus diperketatkan.

“Kita mahu memastikan wang yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2026 dibelanjakan secara berhemah dan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pendekatan kerajaan dalam memastikan kecekapan perbelanjaan dan pelaksanaan projek pembangunan dalam Belanjawan 2026, di sini, hari ini.

Fadillah berkata, fokus utama Belanjawan 2026 adalah kesejahteraan rakyat dengan menitikberatkan aspek tatakelola serta usaha membanteras ketirisan dan aktiviti penyeludupan.

“Apabila kita berjaya membendung kegiatan penyeludupan dan ketirisan, penjimatan yang diperoleh itu boleh disalurkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan,” katanya.

Menurutnya, hasil tindakan penguatkuasaan serta penambahbaikan dalam sistem kawalan, kerajaan berjaya memulihkan RM15 bilion daripada aktiviti penyeludupan dan kebocoran kewangan negara.

Dana itu kemudian dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan bantuan lain yang dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan juga memberi tumpuan kepada pengukuhan kewangan negara melalui pelaburan dalam bidang inovasi, reka cipta dan penyelidikan serta pembangunan (R&D).

“Tujuannya untuk menjana kekayaan baharu melalui ciptaan dan inovasi tempatan, yang bukan sahaja meningkatkan pendapatan negara malah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Mengulas peruntukan RM6.9 bilion disalurkan kepada Sarawak dan Sabah, berbanding purata antara RM4 bilion hingga RM5 bilion sebelum ini, Fadillah berkata, berapa pun angka diterima, yang paling utama ia harus disusuli dengan pelaksanaan projek serta program yang berkesan.-BH Online