Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Kerajaan negeri menghargai pengumuman dan kelulusan projek pembangunan rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan MADANI 2026, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata keprihatinan Kerajaan Pusat yang memperuntukkan sejumlah RM470 bilion dalam belanjawan berkenaan sangat dialu-alukan, termasuk dana khusus untuk pelaksanaan projek yang tersenarai sebagai keutamaan dalam pembangunan negeri ini.

“Kerajaan negeri sambut baik Belanjawan 2026 yang jelas mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjamin serta memelihara kesejahteraan rakyat, di samping memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan stabil.

“Mewakili seluruh pentadbiran negeri serta rakyat Melaka, saya merakamkan setulus penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan kerajaan yang menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM470 bilion dalam belanjawan itu,” katanya melalui kenyataan.

Projek utama diluluskan untuk Melaka adalah pembinaan jalan baharu dari Jalan Masjid Tanah Kuala Linggi ke Telok Gong di Alor Gajah, selain menaik taraf jalan dari Sungai Udang ke Masjid Tanah.

Turut diluluskan pembinaan semula bangunan daif dan tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba di Alor Gajah; pembinaan bangunan baharu serta naik taraf asrama SMK Tinggi Perempuan di Melaka Tengah dan naik taraf Muzium Samudera Fasa 1 di Jalan Quayside, Banda Hilir.

Selain itu, beberapa inisiatif lain turut diberi perhatian termasuk pembangunan projek buah `rock melon’, kerang dan udang galah; melengkapkan Pusat Rehabilitasi PERKESO Melaka serta penggantian lebih 820 kilometer paip usang yang turut membabitkan negeri ini.

Ab Rauf turut menyifatkan pemilihan Melaka sebagai tuan rumah Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 pada 27 September lalu sebagai pengiktirafan besar terhadap negeri itu.

Katanya, pengumuman peruntukan melebihi RM700 juta bagi sektor pelancongan termasuk insentif pelepasan cukai sehingga RM1,000 kepada rakyat yang melancong dalam negara, dijangka memberi rangsangan besar kepada industri pelancongan negeri.-BH Online