Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan tiga dasar baharu bermula Januari tahun depan bagi memperkukuh tahap kebersihan persekitaran negara, termasuk menjadikan kebersihan tandas sebagai syarat pembaharuan lesen perniagaan.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata dasar pertama menetapkan semua premis dalam 20 kawasan berstatus bandar raya di negara ini seperti restoran, kafe serta premis makanan dan minuman (F&B) wajib memastikan tandas mereka mencapai tahap ‘BMW’ yang merujuk ‘bersih, menawan dan wangi’.

“Sekiranya mereka gagal mencapai piawaian ‘BMW’, lesen perniagaan tidak akan diperbaharui. Notis sudah dikeluarkan sejak tiga tahun lalu, jadi setiap pengusaha ini sudah diberikan tempoh supaya memastikan tandas mereka bersih untuk memperbaharui lesen perniagaan. 

“Dasar yang kedua ialah penguatkuasaan lebih tegas terhadap individu yang membuang sampah sewenang-wenangnya. Bila dasar ini mula dilaksanakan, pesalah boleh dikenakan kompaun sehingga RM2,000 jika disabitkan kesalahan oleh mahkamah, selain turut berdepan hukuman khidmat masyarakat selama 12 jam.

“Ia termasuklah menyapu atau membersihkan jalan, cuci longkang dan membersihkan tandas awam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Kebersihan Persekitaran Sedunia (SHKPS) peringkat KPKT 2025, di sini hari ini. 

Tambah Kor Ming, meskipun dasar itu belum dilaksanakan, kempen yang dilakukan oleh kementeriannya kini sudah membuahkan hasil. 

“Contohnya 12,000 tandas awam di negara ini berjaya dinaik taraf termasuk di pasar, medan selera dan taman awam. Kita dapat lihat juga pihak berkuasa tempatan (PBT) mula mendapat taraf lima bintang kerana kebersihan yang ditonjolkan,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, selain kebersihan infrastruktur di negara ini, rakyat di negara ini juga diajak untuk kekal menjadi duta dan tuan rumah sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, saya minta seluruh rakyat supaya menjadi tuan rumah yang baik dengan tiga amalan utama, iaitu bersikap ramah kepada pelancong, jujur dan menjaga kebersihan.

“Jangan buang sampah merata-rata. Bila longkang tersumbat dan banjir kilat berlaku, kerajaan pula yang disalahkan. Ini masa untuk kita tunjukkan Malaysia bukan sahaja indah, tapi juga bersih dan beretika,” katanya.-BH Online