KUALA LUMPUR, 9 Oktober– Kesemua tujuh pemain warisan yang diberi status warganegara bagi mewakili Harimau Malaya, mematuhi syarat tempoh bermastautin di negara serta melepasi tahap pengetahuan Bahasa Melayu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, berdasarkan Seksyen 20 (1)(E) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Menteri menggunakan budi bicaranya dalam proses permohonan kerakyatan warganegara tersebut.
“Dalam Perlembagaan Persekutuan, ada satu seksyen iaitu Seksyen 20(1)(E) dimana menteri boleh menggunakan kuasa budi bicaranya.
Ini bermaksud aspek bermastautin itu seperti dalam Perlembagaan Persekutuan adalah keberadaan pemain itu di luar (negara) pun boleh dianggap bermaustatin dalam negara. Begitu bahasa perundangan dalam buku ini. Selain itu, pengetahuan Bahasa Melayu, maknanya kita cakap dia faham,” jelas Datuk Seri Saifuddin di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan tambahan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
Perkara 19 Perlembangaan Persekutuan menggariskan tiga syarat kelayakan permohonan kerakyatan warganegara itu bermaustatin di Malaysia bagi satu tempoh, tahap pengetahuan Bahasa Melayu yang mencukupi serta berkelakukan baik.
Mengenai isu kelayakan dokumentasi tujuh pemain kebangsaan, Datuk Seri Saifuddin menjelaskan bahawa perkara tersebut diserahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengemukakan rayuan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).-Berita RTM