KUALA LUMPUR: Selangor mampu meningkatkan pulangan pelaburan daripada asetnya dan terus kekal menjadi penyumbang utama (26 peratus) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, aset utama Selangor yang terdiri daripada Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hinggalah ke taman perindustrian, hab semikonduktor dan taman aeroangkasanya merupakan bukti kekuatan utama negeri itu yang boleh membantu pelabur memanfaatkan pertumbuhan industri bernilai tinggi dipacu inovasi.
“Pendek kata, Selangor bukan hanya sekadar pusat perindustrian Malaysia, negeri itu juga boleh menjadi papan loncatan kepada pelabur untuk meneroka rantau ASEAN.
“Dengan infrastruktur bertaraf dunia, keupayaan rantaian bekalan yang kukuh dan ekosistem perniagaan yang dinamik, Selangor membantu meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk eksport dan pelaburan utama ke rantau ini,” kata Tengku Zafrul.
Beliau berkata demikian menerusi ucaptama pada Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) 2025 ke-9, di sini, hari ini.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-47 dalam masa dua minggu.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump; Perdana Menteri China, Li Qiang dan Perdana Menteri India, Narendra Modi akan berada di Kuala Lumpur, menekankan peranan ASEAN yang semakin berkembang sebagai pengantara kuasa pertengahan.
Tengku Zafrul berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berbangga kerana telah membantu membentuk agenda ekonomi ASEAN dan mengukuhkan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN.
Melalui dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Negara (NSS), dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS), Malaysia telah melabur secara meluas dan mendalam dalam ekosistem perindustriannya bagi memastikan negara dapat menghadapi kejutan global dan terus menjadi peneraju.
“Ini jelas ditunjukkan menerusi pertumbuhan stabil Malaysia dalam dua tahun kebelakangan ini, 5.1 peratus pada tahun 2024 dan 4.4 peratus pada separuh pertama 2025. Walaupun unjuran pertumbuhan bagi tahun penuh 2025 disemak sedikit turun kepada antara 4.0 dan 4.8 peratus disebabkan ketidaktentuan tarif, peningkatan pelaburan menunjukkan keyakinan pelabur kekal kukuh dan berterusan,” katanya.
Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata MITI berpuas hati kerana telah meletakkan asas dasar yang kukuh sejak Disember 2022 untuk memperkukuh asas perindustrian negara.
“Saya percaya bahawa semakin hebat ketegangan geopolitik, semakin pantas kita perlu melaksanakan reformasi, memperkukuh rantaian bekalan dan mengamalkan kelestarian.
“Berkaitan perkara ini, Selangor – dengan pelabuhannya yang strategik, lapangan terbang bertaraf dunia, dan kelompok industri yang rancak – merupakan rakan strategik semula jadi dalam memperjuangkan perubahan yang disasarkan oleh dasar perindustrian negara,” tambahnya.
Dengan mengembangkan akses pasaran ASEAN melalui kerjasama seperti dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan memperkukuh rantaian bekalan serantau, Tengku Zafrul berkata Malaysia sedang meningkatkan eksport intra-ASEAN dan membuka laluan untuk perniagaan berkembang, menyesuaikan diri dan menerajui merentas sempadan.
Beliau berkata, Selangor juga mempunyai kedudukan strategik dalam dasar konvergensi Malaysia-ASEAN ini, dengan negeri itu memainkan peranan penting dalam inisiatif utama ASEAN lain di mana Malaysia mempunyai kelebihan industri, seperti kenderaan elektrik dan semikonduktor.
MITI turut memberi tumpuan kepada bakat industri, pendigitalan dan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), iaitu teras pendekatan holistik dalam memperkukuh ekonomi Malaysia untuk masa depan.
Pelaburan kementerian dalam pembangunan kemahiran pula sedang melengkapkan sektor bernilai tinggi seperti aeroangkasa, elektrik dan elektronik, serta pembuatan termaju.
“Selangor, dengan kumpulan bakat yang luas disokong oleh universiti dan institusi teknikal terkemuka, sekali lagi merupakan rakan strategik semula jadi dalam mencapai cita-cita ini, dan merupakan penerima manfaat yang jelas daripadanya,” katanya.-BERNAMA