Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memanfaatkan kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, untuk menyuarakan kepada beliau mengenai keadaan buruk yang dialami aktivis Malaysia ketika berada dalam tahanan rejim Zionis Israel.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, juga bersetuju dengan tindakan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Manusia (CENTHRA) agar laporan layanan buruk serta kekerasan terhadap sukarelawan berkenaan dihantar terus kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).

Beliau menegaskan langkah itu penting agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) peka akan situasi yang menimpa aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), khususnya warga Malaysia yang dilayan dengan kekerasan oleh rejim Zionis ketika berada dalam tahanan mereka.

“CENTHRA memandang ia sebagai satu perkara yang amat serius kerana tahanan itu tidak diberikan layanan yang sempurna. Berlaku juga kekerasan terhadap rakyat Malaysia yang ditahan secara haram.

“Saya juga bersetuju dengan Azril (Pengerusi CENTHRA, Azril Mohd Amin) supaya kita membuat laporan kepada UNHRC agar PBB tahu dan untuk diambil tindakan sewajarnya terhadap perlakuan dilakukan oleh rejim Israel kepada rakyat kita.

“Kita (juga) akan beritahu (kepada Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN nanti) bahawa rakyat kita dilayan dengan tidak sempurna… kerana mereka bukan masuk secara haram,” katanya kepada pemberita selepas hadir temu bual bersama Buletin Utama TV3 di Balai Berita, di sini, hari ini.null

Beliau mengulas tindakan CENTHRA yang sedang mempertimbangkan untuk menghantar laporan kepada UNHRC berhubung layanan buruk terhadap aktivis Malaysia yang ditahan Israel.

Azril dipetik berkata, mekanisme itu boleh memberikan tekanan politik serta membolehkan UNHRC mengeluarkan kenyataan mendesak siasatan lanjut dijalankan.

Menceritakan situasi sebenar keberadaan kapal GSF ketika dipintas dan ditahan tentera rejim Zionis Israel, Mohamad berkata, ketika itu konvoi misi kemanusiaan berkenaan sebenarnya berada dalam kawasan perairan antarabangsa sebelum mereka ditarik ke pelabuhan Israel.

Justeru, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa kapal GSF memasuki perairan Israel secara haram sehingga membawa kepada penahanan aktivis terbabit.

“Jadi soal mereka mendarat secara haram itu tidak timbul. Ada pula sekarang berlegar-legar menyatakan kalau tahu bahawa kita tidak boleh masuk Israel, mengapa masuk (juga).

“Mereka tidak masuk. Mereka cuma berada di luar kawasan ‘continental shore’ (sempadan antara daratan benua dengan laut). Selalunya (berada) 12 batu nautika. Itu adalah perairan antarabangsa. Jadi, perlu faham undang-undang laut dan undang-undang antarabangsa sebelum kita bercakap.

“Mereka tidak memasuki Israel secara haram tetapi mereka dikepung dan kapal mereka dibawa mendarat oleh tentera Israel. Mereka diperlakukan sebagai pesalah. Mereka tidak bersalah dan tidak berada dalam kawasan perairan Israel,” tegasnya.

Terdahulu, ketibaan Mohamad ke Balai Berita disambut pengurusan tertinggi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Rafiq Razali; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Rosli Sabarudin; dan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin.-BH Online