Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN:Umat Islam tidak sewajarnya menormalisasikan budaya berkaitan arak dalam apa saja acara diadakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata mereka seharusnya perlu lebih sensitif mengenainya yang jelas haram dalam Islam termasuk segala bentuk pembabitannya.

“Saya rasa dari sudut hukum mengenai arak ini adalah jelas. Sudah tentu dalam keadaan semasa ini, kita tidak mahu arak ini dinormalisasikan.

“Jadi, kena tahu mana yang boleh dan mana yang tidak boleh,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan 2025 di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohd Ajib Ismail; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin.

Beliau mengulas tindakan membuat semburan arak bagi meraikan kemenangan pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One (F1) di Grand Prix Singapura, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im meminta semua pihak menjadikan pihak berautoriti khususnya golongan agamawan sebagai rujukan bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang lagi.

Beliau turut mengharapkan kefahaman masyarakat bukan Islam bahawa minuman keras adalah haram bagi orang Islam.

Menurutnya, walaupun minuman keras itu tiada halangan bagi orang bukan Islam, namun diharap mereka dalam menjaga sensitiviti orang lain.

“Nasihat saya khususnya kepada rakan-rakan yang beragama Islam untuk melihat kepada sensitiviti isu berkaitan dengan arak ini kerana sudah jelas hukumnya haram.

“Pada rakan-rakan yang bukan beragama Islam pula, tidak ada halangan untuk mereka membenarkan (minum arak), tapi dalam konteks Islam, ia memang satu perkara yang telah diharamkan,” katanya.

Justeru, katanya, setiap masyarakat perlu memahami dan menghormati sensitiviti agama serta budaya satu sama lain bagi pembentukan sebuah negara MADANI yang aman damai.-BH Online