KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyelesaikan proses rayuan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman ke atas tujuh pemain warisan Harimau Malaya sebelum mengambil langkah menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas.
Hannah menegaskan, proses rayuan yang sedang dijalankan FAM perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi memastikan setiap tindakan yang diambil selepas ini berpaksikan kepada prosedur dan maklumat yang lengkap.
“Saya melihat sekarang ini ada banyak cadangan. Kalau kita baca di media sosial, memang panjang, semua orang ada idea dan pandangan sendiri kerana bola sepak ini sukan rakyat.
“Tetapi saya rasa kita kena pergi stage by stage. Lengkapkan dulu proses rayuan. Bila selesai rayuan, barulah kita boleh berbincang sama ada mahu buat siasatan atau penambahbaikan.
“Kalau rayuan belum habis tetapi kita sudah buat siasatan, itu seperti jumping the gun. Jadi, biar FAM lengkapkan rayuan dahulu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Klinik Liga Sepak Takraw (STL) 2025 di Akademi Sepak Takraw Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hannah menjelaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum menerima sebarang permintaan bantuan daripada FAM setakat ini, termasuk dari segi undang-undang.
“Setakat ini tiada bantuan diperlukan oleh FAM daripada KBS kerana mereka mempunyai peguam mereka sendiri dan lebih arif dengan peraturan FIFA. Jadi kita biarkan mereka lengkapkan proses rayuan dahulu,” katanya.
Semalam, penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menyarankan kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat secara terperinci dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan skuad bola sepak kebangsaan.
Katanya, isu berkenaan bukan sahaja mencalarkan kredibiliti bola sepak negara, malah menjejaskan imej Malaysia dan integriti dalam proses pemberian taraf kewarganegaraan.
Semalam, FIFA mendedahkan butiran penuh keputusan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain.
Menurut laporan rasmi bertarikh 6 Oktober 2025 bertajuk ‘Notification of the Grounds of the Decision’, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan hukuman itu dikenakan susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Hasil semakan bersama pihak berkuasa luar negara mendapati beberapa sijil kelahiran datuk dan nenek pemain terbabit tidak sepadan dengan rekod rasmi negara asal masing-masing.
Susulan itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
FAM dalam kenyataan semalam memaklumkan akan mengemukakan rayuan rasmi melalui saluran undang-undang ditetapkan dan menegaskan semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu terbabit sudah lengkap untuk dikemukakan kepada FIFA dalam masa terdekat.-BH Online