KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan kadar aduan berkaitan masalah serta gangguan sistem dalam penebusan subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sangat rendah, dengan hanya 34 aduan diterima setakat ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Fuziah Saleh, berkata tinjauan pihaknya mendapati terdapat beberapa faktor gangguan termasuk berkaitan sistem ‘glitch’ (gangguan sementara) serta ‘system down’ (tergendala).
“Dalam beberapa insiden dilaporkan kepada KPDN, pihak stesen minyak sudah pun buat bayaran balik atas perbezaan (harga pembelian) subsidi berkenaan.
“Sistem itu dibangunkan syarikat minyak. Jadi apabila sistem ‘down’ (tergendala), apa yang pengguna perlu buat ialah masuk ke dalam (stesen minyak), di kaunter nanti disediakan sistem terminal SARA (Sumbangan Asas Rahmah). Sistem ini boleh digunakan untuk mengenal pasti (kelayakan).
“Setakat ini pihak stesen minyak sudah mengambil tindakan dan tanggungjawab besar untuk memastikan penyaluran (RON95) sebaiknya. Aduan (diterima) sikit sangat, kalau ada (aduan) pun, ada solusinya,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan asal Rosol, Fuziah berkata sehingga 7 Oktober lalu, sebanyak 11,279 syarikat dan 22,918 kenderaan sudah didaftarkan di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
“Sementara pendaftaran kepada syarikat bot penumpang, mula dibuka esok. Buat masa ini, penyaluran mekanisme RON95 kepada syarikat bot penumpang adalah melalui pembayaran balik tunai terlebih dulu, sebelum kaedah penyaluran subsidi RON95 dan penetapan kuota kepada sektor ini dimuktamad pada hujung bulan ini,” katanya.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, sebelum ini berkata kerajaan bersetuju memperluas manfaat subsidi petrol RON95 kepada bot-bot penumpang awam.
Namun subsidi berkenaan hanya akan terpakai kepada bot yang didaftar atas nama pemilik warganegara atau syarikat yang berdaftar.
Pelaksanaan turut merangkumi pengusaha bot penumpang khususnya yang menggunakan bot sebagai kaedah pengangkutan utama khususnya di Sabah, Sarawak dan di Semenanjung Malaysia yang menyediakan pengangkutan air kepada rakyat.-BH Online