Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta kementerian berkenaan agar memastikan bahawa kesilapan menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan tidak berulang.

Perdana Menteri berkata, penjelasan kementerian itu bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali.

“Penjelasan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) ialah… ini setelah selesai acara rasmi, tapi tempat dan majlis yang sama. Kami telah berikan peringatan keras kepada menteri dan kementerian supaya tidak mengulangi kesilapan ini walaupun penjelasan itu adalah bahawa program berakhir, tetapi tidak wajar sama sekali,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada BERNAMAdan RTM di Kompleks Bunga Raya di sini selepas menghantar pulang Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif yang selesai mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Jemaah Menteri dan seluruh jentera kerajaan telah diingatkan supaya tidak cuai dalam menangani isu terbabit dan perlu memastikan kesilapan yang sama tidak berulang pada masa hadapan.

“Saya peringatkan Jemaah Menteri dan seluruh jentera kerajaan supaya tidak cuai dalam masalah ini,” kata Perdana Menteri.

Dalam hantaran di Facebook beliau kemudian, Anwar menegaskan, dasar kerajaan adalah jelas dan tegas tidak membenarkan minuman keras dihidangkan sama sekali dalam mana-mana acara.

“Semua pihak dalam institusi kerajaan, termasuk berjawatan menteri harus lebih peka dan sensitif terhadap peraturan dan undang-undang. Tindakan menteri dan kementerian ini amat dikesali dan mereka telah diberi amaran keras agar tidak mengulangi perkara sama.

“Seluruh jentera kerajaan telah diingatkan supaya tidak cuai berhubung perkara sebegini dan perlu memastikan kesilapan yang sama tidak berulang,” menurut hantaran berkenaan.

Terdahulu, tular gambar memaparkan program didakwa Global Travel Meet 2025 Gala Dinner di bawah Tourism Malaysia menyajikan minuman beralkohol, namun King Sing menegaskan pihak industri dan sektor swasta teruja dengan acara global yang julung kali dianjurkan itu sehingga menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam berkenaan.

Tambahnya lagi, acara selama dua hari setengah dianjurkan dengan inisiatif pihak industri serta sektor swasta itu berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor akan membawa isu berkenaan ke mesyuarat Kabinet dan UMNO yang diterajuinya menolak sekeras-kerasnya perbuatan itu.

“Saya sendiri akan membawa ke mesyuarat Jemaah Menteri atas ketidaksetujuan UMNO. Sebagai presiden parti, kita menolak 100 peratus,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Menyifatkan perbuatan itu tidak wajar serta bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam, beliau menegaskan, penganjuran acara rasmi kerajaan perlu mengambil kira sensitiviti bangsa serta agama dan dalam kes terbaharu itu, sensitiviti umat Islam dan agama Persekutuan.-BH Online