Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepimpinan dalam politik dan perkhidmatan awam memerlukan pendirian moral dan keberanian bertindak secara jelas, selain berani melakukan pembaharuan serta bersedia menerima kritikan.

Perdana Menteri berkata, pemimpin perlu berfikir ke depan melangkaui kitaran pilihan raya dan bersedia untuk diteliti tindakan mereka.

“Pada teras tadbir urus, terletak moraliti. Tanpa tujuan moral, perkhidmatan awam akan hilang arah. Tanggungjawab kita adalah untuk memperkasa rakyat dan memastikan kemajuan sampai ke setiap lapisan masyarakat.

“Perkhidmatan awam yang gagal mendengar suara golongan lemah atau terpinggir akan kehilangan keabsahan. Keadilan mesti memandu dan dipandu dalam setiap keputusan kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan ASEAN Mengenai Perkhidmatan Awam Yang Bersedia Untuk Masa Depan yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Bakar, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, seluruh perkhidmatan awam dan infrastruktur awam adalah berdasarkan pengkhususan, dengan setiap bidang memerlukan kepakaran serta fokus berbeza.

“Bagaimanapun, pembaharuan seperti pendigitalan dan tenaga menuntut satu fenomena baharu, iaitu keperluan untuk berintegrasi dengan berkesan. Itulah sebabnya saya berpendapat, kefahaman dalam kalangan pegawai kanan sangat penting. Mereka perlu mampu bekerja bukan secara berasingan dalam silo tetapi bertindak mengintegrasikannya,” katanya.

Beliau berkata, teknologi sedang membentuk semula tadbir urus, termasuk di negara ini daripada data analitik kepada kecerdasan buatan (AI), namun dengan tujuan memudahkan kehidupan dan menjadikan perkhidmatan awam lebih manusiawi.

Tambahnya, setiap agensi kerajaan perlu menggunakan data yang diperoleh, termasuk daripada rakyat secara bertanggungjawab, dengan setiap interaksi perlu telus dan meringankan beban rakyat.

“Perkhidmatan awam mesti menjadi institusi pembelajaran, sentiasa meningkatkan kemahiran dan berpegang kepada piawaian integriti yang jelas,” katanya.

Persidangan berkenaan menghimpunkan pemimpin dan pegawai kanan ASEAN bagi merangka visi bersama ke arah perkhidmatan awam yang digital, berpaksikan rakyat dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, rantau ASEAN dengan 670 juta penduduk yang mempunyai pelbagai bahasa, budaya dan kepercayaan mesti berfungsi sebagai rangkaian institusi yang berkeupayaan dan dipercayai. 

“Fasa seterusnya kerjasama ASEAN akan bergantung kepada sejauh mana kita memodenkan sistem perkhidmatan awam kita sendiri. Pada teras tadbir urus, terletaknya nilai moral yang tanpanya perkhidmatan awam akan kehilangan arah. Tanggungjawab kita ialah memperkasa rakyat dan memastikan kemajuan dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Anwar juga menyentuh isu peralihan tenaga kini yang mewujudkan kemahiran dan pekerjaan baharu, selain memastikan kedudukan fiskal negara kekal kukuh. 

“Langkah seterusnya sudah tentu menghubungkan semua pembaharuan ini supaya kerajaan berfungsi sebagai satu entiti yang bersatu, bukan terpisah dan ini satu cabaran besar. Namun, pembaharuan baharu ini perlu dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan. Pemahaman dan peranan pemimpin penting untuk memastikan mereka dapat bekerja sebagai satu kumpulan yang bersepadu,” katanya.-BH Online