SEPANG: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan alasan penghakiman (Grounds of Decision) yang dikeluarkan Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya sebagai dakwaan yang sangat serius dan menjejaskan imej negara.
Sehubungan itu, beliau mahu FAM segera memulakan proses rayuan bagi mempertahankan maruah bola sepak tanah air sebelum mengambil langkah penambahbaikan selepas keputusan itu.
“Saya telah membaca ‘grounds of judgment’ bertarikh 6 Oktober semalam dan saya lihat ia sangat serius.
“FAM perlu melengkapkan proses rayuan ini sebelum apa-apa kenyataan khas dibuat kerana proses rayuan belum selesai,” kata Hannah ketika ditemui selepas menyambut kepulangan skuad olahraga para negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Menurut Hannah, laporan 19 muka surat yang dikeluarkan FIFA mengandungi banyak kenyataan serius dan memerlukan penambahbaikan.
“Walaupun FAM menjelaskan ia berpunca daripada kesilapan teknikal oleh staf mereka, perkara ini tetap memerlukan penambahbaikan.
“Kenyataan FIFA ini sangat serius yang menjejaskan imej negara. Saya faham semua peminat bola sepak marah dan kecewa, namun kita mesti terus menyokong pasukan Harimau Malaya yang masih utuh dan akan berdepan Laos tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, FAM menegaskan FIFA telah membuat kesimpulan yang tidak tepat dan tidak adil dalam laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” bertarikh 6 Oktober 2025.
Dalam satu kenyataan, badan induk itu berkata pihaknya memandang serius beberapa kesimpulan yang dibuat Jawatankuasa Tatatertib FIFA, termasuk dakwaan berhubung isu pemalsuan dokumen pendaftaran pemain warisan.
“FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa pemain-pemain ‘memperoleh dokumen yang dipalsukan’ atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan.
“FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini dikemukakan oleh FIFA. Segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, semua pemain berkenaan bertindak dengan penuh niat baik, bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan dan pendaftaran yang dijalankan oleh FAM.
FAM kini diberi tempoh tiga hari untuk menjawab sebab-sebab yang dikemukakan di sebalik keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA, sebelum lima hari berikutnya untuk mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Terdahulu, FIFA mendedahkan butiran penuh keputusan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan selepas mendapati berlaku ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain.
Menurut laporan berkenaan, siasatan mendapati beberapa sijil kelahiran datuk dan nenek pemain yang dikemukakan oleh FAM tidak sepadan dengan rekod rasmi negara asal masing-masing.
Hasil semakan bersama pihak berkuasa luar negara menunjukkan individu yang dinamakan sebagai datuk atau nenek pemain terbabit bukan dilahirkan di Malaysia seperti dinyatakan dalam dokumen diserahkan kepada FIFA.
FIFA turut menjelaskan semua maklumat berkenaan disahkan secara rasmi, dan tiada bukti sahih menunjukkan kaitan langsung pemain-pemain itu dengan Malaysia.
Walaupun FAM dan pemain mendakwa semua dokumen diperoleh melalui saluran sah, FIFA menegaskan prinsip “tanggungjawab mutlak” (strict liability) terpakai – kegagalan mengesahkan ketulenan dokumen tetap dikira sebagai kesalahan tatatertib walaupun tanpa niat menipu.
Susulan pelanggaran itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,000) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak antarabangsa.-BH Online