KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Naratif ekonomi Malaysia beralih kepada penyusunan semula ekonomi secara proaktif bagi memastikan pertumbuhan yang mampan, telus dan adil.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun pertumbuhan ekonomi kekal stabil, kadar inflasi terkawal dan pengangguran berada pada paras rendah, ukuran sebenar kejayaan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada kestabilan semasa, tetapi kepada keupayaan menghadapi gangguan masa hadapan.
“Cabaran kita adalah untuk memimpin Malaysia melalui ketidaktentuan ini dengan kejelasan dan ketenangan. Kita tidak dapat meramal setiap badai, tetapi kita boleh memperkukuh kapal yang kita layari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Forum Megatrends Khazanah 2025 anjuran Khazanah Nasional Berhad di ibu negara.
Kerajaan kini memberi tumpuan kepada pemulihan disiplin fiskal, memperkukuh institusi, serta memastikan perbelanjaan awam disalurkan kepada sektor yang menjana nilai jangka panjang seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur digital dan ekonomi hijau.
Reformasi dalam bidang perolehan awam, tadbir urus dan pengurusan subsidi turut menjadi sebahagian daripada agenda penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal mampan dan berdaya tahan.
“Landasan penyatuan fiskal kita adalah tentang amanah dan kebertanggungjawaban, memastikan setiap ringgit dibelanjakan dengan tujuan yang jelas. Para pelabur memahami hal ini, dan keyakinan meningkat apabila kerajaan menunjukkan keberanian untuk melaksanakan reformasi,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, pertumbuhan ekonomi mesti disertai peluasan keadilan sosial agar seiring dengan semangat Malaysia Madani, yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Persoalannya bukan sama ada kita dapat mengelak risiko, tetapi sama ada kita mampu mentadbir risiko itu dengan baik,” katanya sambil menambah bahawa sejarah telah membuktikan rakyat Malaysia sentiasa bangkit daripada krisis melalui daya tahan dan keupayaan menyesuaikan diri.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan Malaysia terhadap risiko mesti berteraskan tadbir urus yang baik.
“Tanpanya, risiko menjadi lesen kepada ketidaktanggungjawaban; dengannya, risiko menjadi pemangkin inovasi. Tadbir urus bukan sekadar urusan birokrasi ia adalah kompas moral sesebuah negara,” katanya.-Berita RTM