Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Pengumuman itu dibuat selepas beberapa minggu spekulasi politik serta rundingan semula penjajaran antara pelbagai parti di negeri berkenaan.

Berikut ialah apa yang akan berlaku selepas pembubaran DUN Sabah berkuat kuasa:

Selepas pembubaran DUN, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah akan menyerahkan notis rasmi kepada SPR bagi memaklumkan pembubaran tersebut.

2. Kerajaan sementara ambil alih pentadbiran

Dengan pembubaran DUN, kerajaan negeri sedia ada akan berfungsi sebagai kerajaan sementara (caretaker government).

Kerajaan ini dibenarkan menjalankan urusan pentadbiran rutin dan memastikan kesinambungan perkhidmatan, namun dilarang membuat keputusan dasar baharu, menandatangani kontrak besar atau melaksanakan perbelanjaan berskala besar sehingga kerajaan baharu dibentuk.

3. SPR adakan mesyuarat khas

SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk menentukan tarikh penting dan butiran PRN, termasuk tarikh writ pilihan raya, penamaan calon, tempoh berkempen, hari mengundi, serta daftar pemilih yang akan digunakan.

4. Hari penamaan calon

Individu yang berhasrat bertanding, sama ada sebagai calon bebas atau wakil parti politik, perlu menghantar borang penamaan antara 9 pagi hingga 10 pagi bersama pencadang dan penyokong.

Setiap calon perlu menyerahkan deposit RM5,000 serta akuan bersumpah (statutory declaration).

SPR akan menyemak kelayakan calon sebelum mengesahkan senarai akhir.

5. Tempoh berkempen

Selepas penamaan calon ditutup, tempoh kempen rasmi bermula.

Calon dan parti boleh berkempen melalui ceramah, media, lawatan dan aktiviti turun padang.

Tempoh kempen biasanya berlangsung selama 14 hari, dan semua aktiviti kempen mesti dihentikan pada tengah malam sebelum hari mengundi.

6. Pengundian awal

Kumpulan tertentu seperti anggota polis, tentera dan petugas pilihan raya akan mengundi lebih awal.

SPR akan menetapkan tarikh pengundian awal dan memastikan semua peti undi dikendalikan dengan selamat sebelum dikira bersama undi biasa.

7. Hari pengundian

Pengundi berdaftar akan keluar mengundi antara 8 pagi hingga 6 petang, dengan pemantauan oleh pegawai SPR bagi menjamin ketelusan proses.

Pengundi mesti membawa MyKad dan menyemak lokasi pusat mengundi lebih awal.

8. Keputusan pilihan raya dan pembentukan kerajaan baharu

Sebaik sahaja pusat mengundi ditutup, proses pengiraan undi akan dijalankan serta-merta.

SPR akan mengumumkan keputusan rasmi bagi setiap kerusi.

Parti atau gabungan yang memperoleh majoriti mudah daripada 73 kerusi DUN, boleh membentuk kerajaan negeri baharu. 

Sekiranya tiada parti atau gabungan memperoleh majoriti, rundingan politik akan dijalankan untuk membentuk kerajaan campuran.-BH Online