KUALA LUMPUR: Bidang pendidikan dan kesihatan negara dijangka akan memperoleh peruntukan terbesar dalam pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang berkata, kedua-dua bidang itu menjadi tumpuan utama kerajaan dalam setiap pembentangan belanjawan negara.
“Jika kita lihat, tumpuan kerajaan adalah sentiasa kepada pendidikan dan kesihatan,” katanya ketika ditemui wartawan selepas melancarkan Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Negara (NICE) 2025, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai peruntukan untuk Sarawak dan Sabah dalam Belanjawan 2026, Fadillah berkata, beliau yakin peruntukan bagi dua negeri itu akan dipertingkatkan.
Beliau bagaimanapun berkata, ia bukan sekadar harapan Sabah dan Sarawak tetapi setiap kerajaan negeri pastinya mengharapkan peruntukan yang lebih untuk menyelesaikan setiap permasalahan dan projek di negeri-negeri masing-masing.
“Sememangnya (dalam setiap pembentangan Belanjawan), menjadi harapan untuk setiap negeri, bukan sahaja Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan peruntukan yang besar. Ia bukan sahaja untuk pentadbiran negeri tetapi demi projek-projek (yang akan dibangunkan) dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh setiap negeri.
“Sama ada dalam konteks banjir, bekalan air, pembangunan dan juga bantuan kepada rakyat. Saya yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri, untuk Sabah dan Sarawak, peruntukan sedia ada itu akan dipertingkatkan,” katanya.
BH melaporkan, Belanjawan 2026 pada Jumaat ini dijangka menjadi dokumen penting dalam menentukan hala tuju ekonomi Malaysia di tengah-tengah landskap global yang mencabar.
Ia menjadi belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dijangka memberi tumpuan kepada reformasi fiskal, pelaburan strategik dalam infrastruktur, dan kesinambungan agenda subsidi bersasar.
Menurut laporan pra-belanjawan oleh bahagian penyelidikan TA Securities, Belanjawan 2026 dijangka bersifat mengembang dengan unjuran peruntukan keseluruhan sebanyak RM425.5 bilion, meningkat 3.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Langkah ini, katanya, menandakan komitmen kerajaan untuk terus merangsang pertumbuhan ekonomi domestik walaupun berdepan dengan tekanan luaran.-BH Online