BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan hukuman berbentuk rotan dilihat bukan sebagai jalan penyelesaian dalam mengatasi isu buli atau permasalahan berkaitan disiplin pelajar.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata banyak pihak mengesyorkan supaya mewajibkan hukuman rotan untuk menghukum pelajar bermasalah.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak semudah itu kerana daripada sudut pendidikan perlu juga melihat seluruh aspek pembangunan dan juga peluang kepada anak-anak itu mengubah diri mereka.
“Barangkali ramai yang tak suka sebab ramai kata ‘rotan je, wajib’. Senang saja orang cakap rotan, tapi tidak semudah itu.
“Bagi kita perlu pendekatan mendidik, perlu pendekatan holistik yang kita perlu ambil kira semua aspek pembangunan kanak-kanak ini,” katanya ketika berucap sempena Kempen Anti Buli 2025 anjuran Wanita Keadilan Pulau Pinang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Yayasan Aman, Bukit Mertajam di sini hari ini.
Fadhlina berkata, pihaknya boleh mengambil banyak keputusan dan intervensi tegas bagi membendung gejala buli di sekolah.
“Antaranya gantung sekolah, beri amaran atau buang sekolah, semua kita boleh ambil tindakan itu tetapi satu perkara kita kena ingat, bila kita gantung budak, kita buang budak, budak-budak ini akan masuk balik sekolah di bawah KPM untuk kita kembali didik mereka.
“Sebab itu kita tak boleh terlalu cepat mengambil kira hukuman semata-mata, sebaliknya melihat seluruh aspek pembangunan dan juga peluang kepada anak-anak ini,” katanya.
Sementara itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KPM juga merangka pelbagai usaha dalam menangani kejadian buli termasuk memberi perhatian kepada mempertingkatkan usaha sekolah selamat menerusi Belanjawan 2026.
Katanya, satu sesi town hall khas bersama murid sekolah juga akan dilaksanakan esok dalam merangka Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti Buli yang akan dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Selain itu, Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan membabitkan libatkan pelbagai pihak sedang giat berfungsi bagi memperkukuh agenda ini.
“Audit asrama juga sedang kita laksanakan merangkumi tumpuan jadual tugas warden, pemantauan rekod aduan, bilangan warden, pencahayaan pada waktu malam dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam usaha memastikan kesejahteraan pelajar, guru dan warga sekolah,” katanya.-BH Online