Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Keputusan kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 adalah sebulat suara selepas diputuskan oleh 10 pemimpin negara ASEAN.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu bukan perkara yang diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya, kehadiran Trump tidak menggugat pendirian Malaysia dalam memperjuangkan hak Gaza, Palestin.

“Malaysia menjadi pengerusi kepada Sidang Kemuncak ASEAN, lazimnya kita punyai rakan dialog terutama AS, Jepun, China dan pelbagai negara lain.

“Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke 46 lalu, kita mengadakan sidang kemuncak bersama dengan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan pada kali ini sidang kemuncak itu kita buat sama sebagai rakan ASEAN termasuk AS.

“Ini bukan keputusan PMX (Anwar Ibrahim) sebagai Pengerusi ASEAN, tetapi keputusan sebulat suara seluruh 10 pemimpin negara ASEAN untuk mengadakan sidang kemuncak dengan rakan dialog kita, dan Trump adalah Presiden AS.

“Bagaimanapun, ini tidak menghentikan untuk pendirian (tidak setuju) kita jika ada campur tangan dari AS terhadap apa yang berlaku di Gaza. Pendirian itu tidak mengubah kedudukan kita dan secara rasionalnya pengerusi ASEAN, Malaysia harus menghormati keputusan sebulat suara pemimpin negara ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Skuad YPM peringkat negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Ditanya adakah isu kehadiran Trump akan dibahas di Parlimen esok, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, mungkin ada Ahli Parlimen yang akan berbahas isu itu.

“Ya, mungkin ada Ahli Parlimen yang akan bahaskan isu ini dan mereka boleh buat demikian tetapi kita harus hormati keputusan dibuat sekretariat ASEAN terutama keputusan yang dibuat 10 pemimpin ASEAN. 

“Pada kali ini Sidang Kemuncak ke 47 akan terima Timor Leste sebagai negara ke-11 yang akan anggotai ASEAN,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Malaysia menyatakan harapan bagi mengadakan perbincangan lebih terbuka bersama Trump sempena Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang ASEAN-AS dalam usaha menjamin hak rakyat Palestin sebagai sebuah negara berdaulat serta bermaruah.

Ketegasan sama turut dizahirkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang dilaporkan berkata jemputan kepada Trump ke Kuala Lumpur adalah sebagai rakan dialog untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan bukan jemputan hubungan dua hala Malaysia-AS.-BH Online