Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Zon dan Setiausaha Zon Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) bakal menerima elaun tetap masing-masing sebanyak RM1,000 dan RM750 sebulan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata perkara itu diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas ia dibawa kepada perhatiannya.

“Bagi menyokong pelaksanaan aktiviti MPPWP, kerajaan juga bersetuju meningkatkan peruntukan geran aktiviti bagi peringkat zon daripada RM50,000 kepada RM60,000 setahun, manakala bagi subzon pula, kita bersetuju naikkan daripada RM20,000 kepada RM25,000 setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan MPPWP bagi sesi 2025-2028, di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Seramai 1,284 orang dilantik sebagai ahli MPPWP mewakili Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada sesi kali ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, pengumuman elaun itu adalah pengiktirafan kerajaan terhadap peranan besar MPPWP dalam menggerakkan komuniti.

“Namun, ia datang dengan sebuah amanah yang besar.

“Saya minta agar setiap perbelanjaan mesti direkodkan dengan teliti dan apa lebih utama ialah pelaksanaan program MPPWP itu perlu membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.-BH Online