KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat multinasional yang mempunyai kapasiti besar seperti Grab Holdings Inc (Grab), berperanan penting dalam mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi.
Perdana Menteri berkata, syarikat multinasional juga berperanan penting dalam menyokong pembangunan kapasiti berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
“Kerajaan mengalu-alukan komitmen serta inisiatif yang dilaksanakan ini agar kebajikan pemandu dan penunggang Grab adalah terjamin,” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook, malam tadi.
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau menerima kunjungan hormat Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Anthony Tan, bersama delegasi, petang semalam.
Pada pertemuan itu, beliau berkata, beberapa perkara dibincangkan termasuk berhubung pelaksanaan subsidi petrol bersasar melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang memberi manfaat terus kepada pemandu e-panggilan dengan membantu mengurangkan kos operasi harian mereka.
Langkah itu bukan saja meringankan beban, malah memperkukuhkan peranan sektor e-panggilan sebagai komponen penting dalam sistem pengangkutan awam negara.-BH Online