KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghubungi Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, untuk menuntut campur tangan segera Washington dalam usaha membebaskan aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF), termasuk rakyat Malaysia, yang ditahan tentera Israel.
Perdana Menteri sekali gus menyifatkan tindakan rejim Zionis menahan aktivis antarabangsa serta menghalang bantuan kemanusiaan daripada sampai ke Gaza, sebagai bukti keruntuhan nilai kemanusiaan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kezaliman yang dilakukan Israel mesti dihentikan serta-merta.
“Setakat petang ini, saya telah mengadakan perbincangan bersama Presiden Turkiye, Presiden Mesir dan Perdana Menteri Qatar bagi memohon dukungan mereka dalam usaha mendesak pembebasan sukarelawan serta aktivis Malaysia yang ditahan.
“Saya dan pasukan juga berhubung rapat dengan beberapa rakan lain, termasuk Setiausaha Negara AS, bagi menuntut campur tangan serta tindakan segera tanpa sebarang kelewatan,” katanya melalui rakaman video yang dimuat naik dalam Facebook, hari ini.
Perdana Menteri turut menegaskan Malaysia tidak akan berdiam diri apabila hak dan maruah rakyat negara ini diinjak.
“Apa yang didakwa (Israel) ‘kesalahan’ mereka (misi GSF) adalah kerana nilai keprihatinan dan atas prinsip kemanusiaan membantu yang lemah, kelaparan, sakit termasuk dalam kalangan wanita dan anak-anak.
“Kalau itu tidak dapat dilakukan, (maka) nilai kemanusiaan kita tidak berharga sama sekali. Jadi sekali lagi, saya berdoa kepada Allah SWT meminta (agar) kezaliman oleh rejim Israel ini dihentikan dan rakyat negara kita dibebaskan, dan saluran bantuan kemanusiaan ke Gaza serta seluruh bumi Palestin dapat disampaikan tanpa sekatan,” katanya.-BH Online