KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera laut rejim Zionis Israel yang memintas dan menahan beberapa kapal Global Sumud Flotilla dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, awal pagi tadi.
Dalam kejadian berlaku di perairan antarabangsa sejak tengah malam, antara aktivis ditahan termasuk rakyat Malaysia, malah sebahagian daripada mereka adalah ahli SENIMAN sendiri.
Setiausaha Agung SENIMAN, Hafiz Nafiah berkata, tindakan Israel itu bukan sahaja mencetuskan kebimbangan, malah jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
“Di bawah Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS, 1982), kapal awam di laut lepas mempunyai hak kebebasan belayar dan tidak boleh diganggu kecuali dalam keadaan tertentu seperti lanun atau penyeludupan.
“Menghalang bantuan kemanusiaan ke kawasan konflik juga bercanggah dengan Konvensyen Geneva 1949 serta Protokol Tambahan I (1977) yang menetapkan semua pihak wajib membenarkan penghantaran bantuan tanpa sebarang halangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
SENIMAN turut menggesa kerajaan Malaysia segera menggunakan saluran diplomatik antarabangsa serta tekanan politik bagi memastikan keselamatan, pembebasan segera dan kepulangan aktivis kemanusiaan, khususnya rakyat Malaysia.
“Menghalang misi kemanusiaan ke Gaza hanya memburukkan lagi krisis yang semakin meruncing. Kami mendoakan keselamatan semua aktivis, terutama rakyat Malaysia serta ahli Seniman yang ditahan,” katanya.
Dalam pada itu, SENIMAN tidak menolak kemungkinan menghantar nota bantahan rasmi kepada Kedutaan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya tiada tindakan segera diambil terhadap pelanggaran tersebut.
Sehingga pagi tadi, akaun laman sosial Sumud Nusantara Official melaporkan seramai 15 sukarelawan Malaysia ditahan rejim Israel termasuk penyanyi Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza Helmi dan pempengaruh Hazwani Helmi.-BH Online