Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUANTAN: Seramai 800 pelajar Tingkatan 6 dari empat daerah di Pahang buat kali pertama menyertai Seminar Aspirasi Pahang 1st anjuran Kerajaan Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata seminar itu diharap menjadi platform dalam usaha melahirkan anak Pahang yang cemerlang di dalam akademik khususnya peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Malah, katanya, pelajar juga memiliki sahsiah jati diri yang teguh dan berintegriti sebagai pemimpin masa depan.

“Alhamdulillah, melihat kepada semangat dan keupayaan mereka, insha-Allah kita akan mencipta lagi satu sejarah untuk memastikan pelajar Tingkatan Enam ini mendapat keputusan yang baik.

“Ini kerana kerajaan negeri akan memberi sokongan untuk memastikan seminar ini membantu pelajar beroleh keputusan cemerlang,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Aspirasi Pahang 1st Tingkatan 6 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.

Seramai 800 pelajar itu membabitkan empat daerah iaitu Kuantan, Pekan, Maran dan Temerloh.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai pelajar menjadikan STPM sebagai laluan ke universiti dan seterusnya kembali menyumbang bakti kepada negeri.

“Berdasarkan pencapaian STPM 2024, seramai 82 calon STPM Pahang memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 manakala 1,142 calon memperoleh PNGK sekurang-kurangnya 3.0,” katanya.-BH Online