SEPANG: Penyertaan 34 delegasi Malaysia dalam Misi Konvoi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) memberi mesej jelas bahawa solidariti terhadap rakyat Palestin bukan sekadar di pentas diplomasi tetapi turut dizahirkan melalui pengorbanan di lapangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata komitmen dan semangat tinggi ditunjukkan delegasi Malaysia dalam misi berkenaan wajar dijadikan contoh dan akan direkodkan sebagai detik penting dalam sejarah perjuangan menegakkan keadilan buat rakyat Palestin.
“Kita amat kagum dengan semangat anda semua. Insya-Allah, kerajaan akan terus membantu serta memastikan kebajikan ahli keluarga semua delegasi terbela.
“Penyertaan ini memberi suntikan semangat luar biasa dan bakal tercatat sebagai sejarah besar dalam usaha menegakkan keadilan serta membela nasib rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi panggilan video bersama delegasi Malaysia yang menyertai misi berkenaan dari Pusat Komando Sumud Nusantara (Sumud Nusantara Command Centre – SNCC), hari ini.
Misi GSF yang kini memasuki hari ke-30, menyaksikan pembabitan aktif wakil Malaysia dalam usaha membawa bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak itu.
Anwar berkata pengorbanan dan komitmen ditunjukkan delegasi bukan sahaja mencerminkan solidariti sejagat, malah menjadi bukti nyata bahawa perjuangan membela Palestin terus mendapat dukungan padu daripada rakyat Malaysia.-BH Online
