KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI berhasrat menubuhkan Felo Kenegaraan bagi menghimpunkan tokoh dan pakar pelbagai bidang sebagai rakan strategik untuk merangka agenda besar pembinaan negara bangsa.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu ialah antara agenda Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan yang dipengerusikan beliau di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.
Perdana Menteri berkata, inisiatif itu diharap dapat terus memperkukuhkan latihan kenegaraan dan memperkasakan usaha pembinaan negara bangsa selaras aspirasi Malaysia MADANI.
“Penubuhan Felo Kenegaraan ialah satu inisiatif penting yang menghimpunkan tokoh daripada pelbagai latar belakang merangkumi bidang akademik, profesional, belia, kepimpinan masyarakat, seni budaya dan lain-lain.null
“Melalui wadah ini, felo terbabit bukan saja berperanan sebagai pemikir dan penggerak idea kenegaraan, tetapi juga rakan strategik kepada kerajaan dalam merangka agenda besar pembinaan negara bangsa,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.-BH Online