Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kangar: Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian seorang murid tahun tiga terjatuh dalam saluran lubang kumbahan di sebuah sekolah rendah di Lenggeng, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya melahirkan rasa dukacita atas kejadian yang menimpa murid berkenaan.

“JKR akan membuat siasatan terhadap kejadian berkenaan, saya yakin bahan yang kita (JKR) gunakan adalah bersesuaian kerana ia mempunyai standard tertentu yang wajib dipatuhi.

“Dalam hal ini prosedur operasi standard (SOP) itu memang ada cuma saya tidak tahu sama ada betul atau tidak penutup yang digunakan itu daripada bahan fiber.

“Kita harus menunggu siasatan yang dijalankan kerana saya tidak pernah mendengar bahan fiber digunakan untuk membuat penutup lubang seperti lubang kumbahan itu,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Pejabat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Perlis, di sini, hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan bangunan berkenaan.

Turut hadir Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Ruse’ele Eizan, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Zainora Zainal dan Pengarah CIDB Negeri Perlis, Yusrillhaffiz Hamzah. 

Ahmad berkata, laporan kejadian dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.

Menurutnya, walaupun JKR sudah menyerahkan sekolah berkenaan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), tetapi pihaknya akan meneliti laporan kejadian itu. 

“Saya yakin bangunan sekolah itu sudah pun melepasi tempoh ‘kecacatan’ di bawah tanggungjawab kita.

“…. dan ia kini di bawah pemantauan Jabatan Pendidikan Negeri dan Daerah, namun kejadian ini perlu diselidiki terlebih dahulu,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Abdul Fatah Khairol Rizal yang berusia sembilan tahun meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolah berkenaan.

Siasatan awal mendapati pada jam 9.20 pagi, orang awam melihat mangsa terjatuh ke lubang berkenaan yang tidak bertutup rapi ketika berlangsungnya program kejohanan sukan olahraga di sekolah itu.-MyMetro Online