KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) akan mengadakan sesi dialog bersama kira-kira 200 murid sekolah rendah dan menengah pada 6 Oktober ini bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung usaha kerajaan menubuhkan Tribunal Antibuli.
Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata sesi itu penting kerana kanak-kanak adalah pihak yang berdepan sendiri situasi berkenaan, sekali gus dapat memberi gambaran jelas mengenai kesedaran mereka terhadap masalah buli serta strategi pencegahan awal.
“Pandangan anak-anak ini amat berbeza, mereka sendiri mengakui bahawa buli adalah satu masalah yang perlu ditangani segera.
“Malah mereka bijak bercakap mengenai kesedaran dan strategi pencegahan. Ini memberi harapan bahawa generasi muda juga mahu sistem yang melindungi mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sesi Townhall Antibuli di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Azlina menegaskan semua laporan berkaitan buli yang dibuat secara dalam talian akan kekal sulit, manakala pihak tribunal akan memastikan pengadu dilindungi apabila kes dibawa ke peringkat pendengaran.
Bagaimanapun, Azlina berkata, masih ada kebimbangan dalam kalangan pelajar yang bimbang aduan mereka tidak dipercayai pihak berkuasa.
“Situasi itu turut dihadapi di negara lain sehingga mendorong penubuhan jawatan pesuruhjaya keselamatan yang turun padang memberi penerangan di sekolah mengenai isu buli.
“Tribunal berkenaan akan menjadi platform bebas kepada pelajar atau ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan sekolah, termasuk sekolah swasta yang tidak berada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) atau institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Kita tidak boleh benarkan sekolah swasta lepas tangan dengan meminta ibu bapa menandatangani surat pelepasan tanggungjawab jika berlaku kes buli.
“Dari segi undang-undang tort (undang-undang sivil berkaitan perbuatan salah dilakukan satu pihak yang menyebabkan kerugian atau kecederaan kepada pihak lain), sekolah tetap bertanggungjawab kerana mereka menguruskan pelajar,” katanya.
Tambahnya, tribunal juga terbuka kepada kes berlaku di luar kawasan sekolah kerana isu buli tidak hanya terbatas di dalam premis pendidikan.
“Fasa pertama tumpuan kita adalah kepada pelajar bawah 18 tahun berdasarkan nasihat Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan badan bukan kerajaan (NGO), manakala untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), kita akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada fasa kedua,” katanya.-BH Online