KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memikirkan mengenai pelaksanaan caj bagi kenderaan persendirian yang memasuki kawasan kota, hanya selepas rangkaian sistem pengangkutan awam negara berada pada tahap baik dan menyeluruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata namun buat masa ini kerajaan belum bercadang mengenakan caj terbabit kerana menganggap ia membebankan.
“Sesetengah negara mengenakan bayaran lain untuk masuk ke kota… kita tak cadangkan itu, sebab ia mungkin membebankan.
“Namun jika lingkaran pengangkutan awam adalah menyeluruh dan baik di kota besar, maka harus memikirkan perkara itu,” katanya semasa berucap ketika merasmikan Terminal Bersepadu Gombak (TBG), di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Februari lalu, kerajaan menyatakan sedang mengkaji keberkesanan caj kesesakan dalam mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, dilaporkan berkata kajian itu antara lain bagi menilai keberkesanan mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya dan meningkatkan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mahukan seluruh jentera kerajaan dan pihak berkaitan supaya mempercepat langkah dalam sebarang pembinaan projek membabitkan kemudahan rakyat.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu projek yang tertangguh sekian lama seperti mana yang berlaku pada TBG menyebabkan kerajaan menanggung kerugian.
“Ini bermakna dari segi kerangka kita dalam negara MADANI, perlu memperkasa struktur dan ketersediaan sambil memberi tumpuan semasa,” katanya.
Perdana Menteri turut menekankan kawasan baharu perlu diintegrasikan dengan kemudahan lain antaranya terminal seperti mana TBG selain pasar, dewan, sekolah vertikal dan perumahan rakyat bagi menjadikan ia sebagai pusat kota baharu.
Beliau berkata, projek terminal seperti TBG perlu menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih besar seperti mana dilaksanakan di kota besar membabitkan Tokyo, Jepun dan London, United Kingdom.
Katanya, ia penting supaya sesuatu kawasan itu boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat, selain menjadi contoh yang baik untuk pembangunan serupa.
“Projek boleh dimanfaatkan sepenuhnya kalau matlamat kita menyediakan prasarana itu secara menyeluruh. Bukan sekadar canggih sahaja, tetapi tidak memenuhi keperluan rakyat.
“Tetapi di setiap stesen disediakan tempat perniagaan, hotel, restoran atau kemudahan jabatan dia akan menjadi satu pusat kota yang baharu.
“Begitu juga di TBG perlu digabungkan dengan Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dia memudahkan perjalanan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, projek terminal bersepadu ini juga perlu dibangunkan di negeri luar Wilayah Persekutuan antaranya Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi meningkatkan kadar pertumbuhan ekonominya yang mungkin terhad sebelum ini.
Mengenai TBG, terminal moden bernilai RM307.4 juta ini menjadi hab pengangkutan darat utama yang menghubungkan bas ekspres, projek transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, dan bakal berintegrasi dengan ECRL Gombak apabila siap kelak.
Sejak mula beroperasi pada 5 Mac lalu, TBG menempatkan 30 pengendali bas ekspres dengan purata 3,000 trip sebulan.
Terminal terbabit mampu menampung sehingga 700 perjalanan bas sehari, membabitkan kira-kira 25,000 penumpang.-BH Online