KUALA LUMPUR: Sektor kreatif memainkan peranan penting kerana turut menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sehubungan itu, beliau berkata, sektor kreatif perlu diberi sokongan berikutan potensinya yang besar, termasuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ia adalah sektor yang berkembang pesat dan dinamik di mana nilai komersial serta budaya bertemu untuk menyegarkan ekonomi negara.
“Ia adalah satu penghormatan untuk kita menyokong pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekonomi kreatif, serta mengetengahkan seni dan budaya unik Malaysia,” katanya ketika berucap pada acara seni tahunan, CIMB Artober Art & Soul 2025 (CIMB Artober), di sini, semalam.
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan mencemar duli berangkat ke acara itu yang turut dihadiri Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Syed Zaid Albar, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin.
Seterusnya, Tengku Zafrul menekankan dalam usaha mengejar pertumbuhan ekonomi, negara memerlukan elemen seni yang hidup.
Beliau berkata, ini kerana seni adalah jiwa sesebuah negara yang dizahirkan dengan harapan, luka dan kejayaannya terukir melalui warna, irama serta bentuk.
“Ringkasnya, seni membantu kita menyambung semula hubungan dengan nilai kemanusiaan dalam diri kita.
“Ini adalah acara seni tahunan yang kita sokong setiap tahun kerana saya percaya seni, budaya dan warisan adalah elemen penting dalam kemanusiaan,” katanya.
Beliau memaklumkan sejak 2020, francais CIMB Artober berjaya menjana jualan signifikan untuk ramai artis muda, sekali gus mengubah kehidupan dan memartabatkan komuniti mereka.
“CIMB Artober juga berjaya menaikkan profil sektor ini sebagai satu kelas aset yang berdaya saing dan boleh dilaburkan,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada 2020, CIMB Artober meraih lebih RM20 juta yang memanfaatkan komuniti seni dan mengetengahkan kira-kira 1,000 karya seni setiap tahun.
Kemuncak CIMB Artober tahun ini ialah pameran hasil karya tokoh seni tersohor, Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein.
Allahyarham adalah rakyat Malaysia yang pertama menerima Anugerah Kristal oleh Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, pada 1997.-BH Online