Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Sebanyak 78 sekolah di Sabah membabitkan 68 sekolah rendah dan 10 lagi menengah, dikenal pasti terjejas akibat banjir yang melanda baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata daerah Beaufort merekodkan jumlah sekolah terjejas yang tertinggi sebanyak 35 buah, diikuti Papar (20), Penampang (enam) dan Nabawan (lima).

Seterusnya Keningau, Sipitang serta Tenom dengan masing-masing tiga sekolah, Tambunan (dua) dan Kota Belud (satu).

“Nilai keseluruhan kerosakan sedang diperhalusi dan kerja baik pulih akan segera dilaksanakan bagi memastikan akses pendidikan terbaik serta kelancaran operasi persekolahan,” katanya pada sidang media di Wisma Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di sini, semalam.

Fadhlina berkata, kira-kira 50 peratus sekolah yang terjejas, telah siap dibersihkan, manakala kerja pembersihan pascabanjir sedang diteruskan dengan bantuan sukarelawan dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Beliau berkata, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) turut menyalurkan bantuan kewangan kepada 50 sekolah terjejas, selain bantuan kecemasan melalui Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) sebanyak RM300 kepada setiap murid yang layak.

Selain itu, insurans takaful diberikan kepada waris mangsa terkorban akibat tanah runtuh, manakala Yayasan Didik Negara (YDN) menyumbang kelengkapan sekolah kepada institusi yang terkesan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengemukakan permohonan bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi pembinaan blok asrama baharu di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya.

“Sebagai langkah jangka pendek, IPGM akan menyewa premis berhampiran untuk dewan kuliah, selain beberapa bangunan lain turut dikenal pasti bagi menggantikan kelas dan bilik kuliah di blok yang terkesan,” katanya.

Pada 18 September lalu, kementerian mengarahkan pengosongan segera bangunan kuarters berhampiran lokasi tanah runtuh di institut berkenaan.-BH Online