SUNGAI PETANI, 26 September – Syarikat pengangkutan darat awam dan pengangkutan darat barangan yang belum menerima kad fleet boleh membuat permohonan tuntutan bayaran balik tunai melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) mulai 30 September ini.
Kemudahan itu disediakan bagi membolehkan syarikat berkaitan membuat tuntutan perbezaan harga RON95 yang telah dibayar pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga subsidi RON95 SKPS sebanyak RM2.05 seliter.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu diambil selepas kerajaan menerima maklum balas bahawa masih terdapat syarikat berkaitan yang tidak sempat mendapatkan kad fleet walaupun sudah mendaftar di bawah SKPS.
“Mereka ini juga memberikan perkhidmatan kepada rakyat sama ada melalui pengangkutan awa dan juga barangan-barangan yang dihantar kepada rakyat dalam pelbagai bentuk perkhidmatan yang diperlukan. Jadi kita harap mereka tidak berlengah kerana sekiranya mereka punya kad fleet lagi mudah, tak perlu lagi untuk membuat tuntutan tersebut,” katanya.
Datuk Armizan bercakap pada sidang media selepas melawat Karnival Jelajah KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Utara di Dataran Amanjaya Mall di sini.
Permohonan bayaran balik tunai boleh dibuat di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.
Pembayaran balik tunai akan dikreditkan ke dalam akaun bank syarikat dalam tempoh 15 hari bekerja.
Dalam pada itu, Datuk Armizan berkata, sejak 15 hingga 25 September lalu, rekod pendaftaran SKPS meningkat kepada 5,233 syarikat melibatkan 12,955 kenderaan di seluruh negara.-Berita RTM