NEW YORK: Malaysia menyalurkan lebih AS$42 juta (RM177 juta) dalam bentuk bantuan kemanusiaan dan sokongan pemulihan semula Gaza sejak 2024, sekali gus membuktikan komitmen berterusan negara terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) kekal sebagai nadi penting kepada pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan dan Syria.
Sehubungan itu, beliau menggesa negara anggota PBB memastikan mandat dan peranan agensi itu tidak terganggu.
“Negara anggota PBB perlu melaksanakan tanggungjawab menyokong UNRWA dan menjamin penyaluran bantuan kemanusiaan penting di Gaza tidak terputus.
“Malaysia akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan seperti Jordan, Mesir dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melancarkan usaha ini,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Penyokong Palestin di Ibu Pejabat PBB di sini, hari ini.
Mohamad berkata, Malaysia menyumbang AS$17 juta (RM72 juta) menerusi Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin sejak tahun lalu.
Beliau turut mengumumkan tambahan AS$25 juta (RM100 juta) sebagai bantuan kemanusiaan dan pemulihan semula Gaza, selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada program Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, bulan lalu.
“Malaysia akan terus menyokong mandat UNRWA dalam memberikan bantuan dan perlindungan kepada pelarian Palestin,” katanya.
Mohamad menegaskan, Malaysia bersedia bekerjasama dengan PBB dan negara-negara sehaluan bagi memperkukuh saluran bantuan serta menyokong usaha pemulihan jangka panjang Gaza.-BH Online