Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerjasama antara agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diperkukuh bagi memastikan masalah yang dihadapi petani dan nelayan dapat diselesaikan dengan berkesan.

Perdana Menteri, berkata isu yang dihadapi golongan itu tidak hanya terhad kepada tanggungjawab satu-satu agensi saja, sebaliknya memerlukan penyelarasan antara agensi.

Sebagai contohnya katanya, ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Port Dickson sebelum ini, beliau mendengar masalah utama nelayan di kawasan itu, yang dikuasai peraih, menyebabkan hasil laut kadangkala tidak dapat dijual kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kerana terikat dengan hutang.

“Sebab itu, kerjasama antara agensi, seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), LKIM, Jabatan Pertanian itu penting kerana ia tidak ada penyelesaian satu-satunya.

“Penyelesaian masalah petani ini bukan hanya dengan FAMA, mesti dengan Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan mana-mana agensi yang boleh menyelaras,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani Ke-40 Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Pasar Tani Putrajaya di sini, hari ini.-BH Online