Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersedia memberi bantuan termasuk sokongan kaunseling dan kebajikan kepada keluarga 34 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Flotila Sumud Global (GSF).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata kerajaan amat menghargai pengorbanan keluarga sukarelawan yang merelakan insan tersayang mereka terbabit dalam misi berisiko tinggi itu.

“Kerajaan sentiasa menyokong dan mendukung perjuangan mereka. Saya berterima kasih kepada keluarga yang merelakan anak, suami atau isteri menyertai misi ini.

“JAKIM akan memberikan bantuan sewajarnya bukan sahaja kepada sukarelawan, tetapi juga kepada keluarga yang ditinggalkan di tanah air kerana mereka juga berdepan tekanan kerana insan tersayang berada di tengah lautan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berinteraksi dengan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi berkenaan di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Ahmad Sani Araby.

Mohd Na’im berkata, JAKIM mempunyai kaunselor kerohanian yang boleh turun padang bagi membantu keluarga berdepan tekanan emosi sekiranya diperlukan.

“Walaupun dimaklumkan hubungan komunikasi dengan mereka di laut setakat ini baik, kadang-kadang ada waktu mereka atau keluarga berasa terganggu emosi. Di sinilah peranan JAKIM untuk memberikan bimbingan dan ketenangan.

“Jika ada keperluan berbentuk kewangan, perkara itu juga akan diperhalusi,” katanya.

Misi flotila menyaksikan 34 sukarelawan Malaysia menyertai ratusan aktivis antarabangsa bagi membawa bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang berdepan krisis berpanjangan.-BH Online