KUALA LUMPUR: Polis digesa mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang melakukan kekerasan fizikal dengan gurauan melampau terhadap seorang pelajar.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan tindakan bergurau secara melampau juga adalah kes buli dan tidak boleh sesekali dikompromikan atau didiamkan atas alasan gurauan.
“Apakah kita hendak menunggu sehingga kecederaan kekal mahupun kematian baru hendak bertindak?
“Harap pihak polis segera bertindak dengan tegas. Semua pelaku juga wajib didakwa agar menjadi pengajaran penting buat semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menerusi hantaran video dikongsikan beliau, jelas memaparkan lima pelajar sekolah bertindak memegang kaki dan tangan seorang pelajar lain sebelum menghayunkan tubuh mangsa hingga bahagian kelangkangnya terhentak pada tiang papan tanda.
Dipercayai video yang dikongsi itu merujuk kepada kes buli membabitkan pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Miri.
Lebih mengejutkan, kelihatan beberapa lagi pelajar yang berada berhampiran kejadian hanya menjadi penonton dan ketawa tanpa cuba menghalang perbuatan itu.
Semalam, KBS dilaporkan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menggantung dan membuang pelajar terbabit dengan buli.-BH Online