DILI (Timor-Leste): Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi sambutan penuh istiadat di Istana Presiden di sini petang ini, sekali gus menandakan bermulanya sesi rasmi pada hari pertama lawatan bersejarah Perdana Menteri ke Timor-Leste selama dua hari.
Majlis itu yang diketuai Presiden Dr José Ramos-Horta pada 4.10 petang waktu tempatan, menyaksikan lagu kebangsaan kedua-dua negara berkumandang, diikuti tembakan meriam sebanyak 19 das.
Anwar kemudian memeriksa barisan kawalan kehormatan dan menandatangani Buku Pelawat sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Ramos-Horta.
Kedua-dua pemimpin kemudian bertemu media dalam sidang akhbar bersama.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Anwar juga dijadual menghadiri Mesyuarat Pra-Majlis sebelum menyertai Majlis Temu Mesra MADANI dengan diaspora Malaysia serta alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia di sebuah hotel di sini.
Program hari ini akan diakhiri dengan jamuan makan malam rasmi di Dewan Serbaguna GMN yang dihoskan bersama oleh Ramos-Horta dan Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão.-BH Online