KUALA LUMPUR: ASEAN komited sepenuhnya terhadap prinsip keadilan, ketelusan dan integriti dalam pasaran menerusi pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Persaingan (AFAC), sekali gus mengukuhkan reputasi blok serantau itu sebagai rakan ekonomi yang dinamik, dipercayai serta boleh diharapkan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata AFAC menjadi bukti perpaduan serta visi bersama ASEAN dalam memperkukuh tadbir urus ekonomi dan daya saing rantau ini.
“Perjanjian ini menandakan semangat kerjasama dan konsensus ASEAN. Ia memastikan pengguna mendapat lebih banyak pilihan pada harga berpatutan, perniagaan bersaing berdasarkan merit, manakala inovasi berkembang dalam persekitaran yang terbuka dan telus.
“Komitmen ini menunjukkan kepada dunia bahawa ASEAN bersedia menegakkan standard tadbir urus tertinggi, integriti perniagaan dan ketelusan bagi menjadikan rantau ini lebih menarik serta berdaya tahan menghadapi cabaran mendatang,” katanya pada majlis menandatangani AFAC di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, AFAC menyediakan asas kukuh bagi meningkatkan kerjasama dan pembangunan kapasiti antara pihak berkuasa persaingan di ASEAN, sekali gus memastikan semua negara anggota bergerak seiring tanpa ada yang ketinggalan.
Katanya, pencapaian itu adalah hasil usaha berterusan, kesabaran serta dedikasi pegawai daripada semua negara anggota sepanjang proses perundingan bertahun-tahun.
“Pemeteraian AFAC juga bertepatan dengan tema ASEAN 2025 iaitu Keterangkuman dan Kemampanan, yang menekankan kepentingan persaingan untuk memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk perusahaan kecil dan pengguna.
“AFAC akan menjadi asas penting bagi memastikan pertumbuhan ASEAN bukan sahaja kompetitif, tetapi juga adil, inklusif serta dinikmati oleh semua rakyat di rantau ini,” katanya.
Tengku Zafrul turut merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn; Pengerusi AFAC, Lolibeth Medrano serta semua pegawai dan pakar yang memainkan peranan penting sepanjang proses perundingan.
Katanya, dedikasi mereka telah menghasilkan sebuah pencapaian bersejarah yang bakal memberi manfaat kepada lebih 680 juta rakyat ASEAN pada masa depan.
“AFAC akan berdiri sebagai tonggak baharu dalam tadbir urus ekonomi serantau, bukan sahaja mengukuhkan daya saing tetapi juga membina keyakinan, kepercayaan dan daya tahan ASEAN dalam menghadapi cabaran global,” katanya.-BH Online