Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 22 September – Transformasi sektor awam diyakini menjadi asas utama untuk negara menghadapi cabaran kesihatan, ekonomi dan geopolitik yang kian kompleks di peringkat antarabangsa.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pengalaman beliau ketika memegang jawatan Menteri Kewangan semasa pandemik Covid-19 membuktikan bahawa kekuatan jentera perkhidmatan awam mampu membantu negara keluar daripada krisis kesihatan, ekonomi dan politik.

Beliau berucap ketika merasmikan The Alumni PTD Roundtable “Transforming The Public Service” di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Beliau turut menegaskan, perkhidmatan awam bukan sahaja pelaksana dasar, tetapi penjaga kepercayaan rakyat terhdaap kerajaan.

“Sesi meja bulat ini diadakan tepat pada masanya kerana ia menyokong lima keutamaan tadbir urus yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13. Salah satu keutamaan ialah meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan, yang merupakan fokus penting dalam rancangan tersebut.”

“Ia juga bertujuan untuk menyokong GovTech dalam mendorong inovasi. Saya percaya inilah sebabnya sebuah Kementerian Digital yang baharu telah ditubuh bagi memperkukuh penggunaan teknologi dalam kerajaan dan seterusnya mempertingkatkan tadbir urus yang baik,” katanya.

Selain itu, Tengku Datuk Seri Zafrul turut menegaskan kepentingan komunikasi berkesan dalam era kepantasan maklumat, sekali gus memastikan naratif kerajaan sampai dengan jelas kepada rakyat bagi menangani isu ketirisan maklumat serta berita palsu.

Beliau turut menekankan keperluan memperkasakan perkhidmatan awam dengan nilai keberanian dan integriti, selain memastikan setiap penjawat awam dipertanggungjawabkan melalui penilaian prestasi yang telus.-Berita RTM