Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan.

Pelaksanaan inisiatif itu dibuat di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Perdana Menteri berkata, bagi bukan warganegara pula, harga RON 95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh yang sama.

“Kita putuskan untuk meletakkan kadar RON 95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 dan saya juga sebutkan manfaat dan keistimewaan ini hanya sebagai penghargaan semangat dari Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, jadi penghargaan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

“Mulai 30 September (juga), bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak terima subsidi kerana ikut perseorangan, itu bermula 30 September pada harga RM2.60,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.null

Anwar berkata, penyasaran subsidi BUDI95 bermula 30 September ini dengan semua warganegara layak untuk harga RM1.99 dan pada masa sama harga di pam dinaikkan kepada harga tanpa subsidi.

“Sebelum tarikh kuat kuasa dan sebagai penghargaan, warga polis dan tentera akan mula menikmati harga RM1.99 seliter pada hari Sabtu, 27 September 2025.

“Di samping itu, golongan B40 yang merupakan penerima STR (Sumbangan Tunai Rahmah), juga boleh mula menikmati harga RM1.99 seliter bermula hari Ahad, 28 September 2025 dan pelaksanaan ini supaya rakyat dapat membiasakan diri dengan mekanisme RON95 secara berperingkat,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia layak menggunakan petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan di bawah inisiatif BUDI95, namun bagi pemandu e-hailing, mereka dikecualikan daripada had terbabit serta boleh memohon untuk had lebih tinggi.

“Kerajaan memutuskan semua warganegara dengan lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95. Seperti langkah penghargaan SARA (Sumbangan Asas Rahmah), tahap pendapatan tidak digunakan untuk menidakkan seseorang daripada menikmati subsidi RON95.

“Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta penerima manfaat BUDI95,” katanya.

Mengenai mekanisme penggunaan BUDI95, beliau berkata, rakyat dinasihatkan supaya semak cip MyKad supaya berfungsi dan memiliki lesen memandu sah.

“Seperti SARA, tiada pendaftaran diperlukan untuk BUDI95, hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendapat harga bersubsidi. Hampir serupa dengan proses transaksi semasa, hanya tambah satu langkah pengesahan MyKad diikuti proses biasa untuk membayar.

“Disediakan pembaca MyKad di dalam kedai dan juga di pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan. Untuk mereka yang celik digital, terdapat opsyen digital seperti TouchNGo dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel, supaya tidak memerlukan MyKad setiap transaksi,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, Malaysia menjadi satu-satunya negara yang berani mengambil langkah menurunkan harga minyak bagi rakyatnya dan tidak untuk warga asing.

“Ini dasar dilakukan dalam keadaan negara masih terbeban dengan hutang yang kita warisi, tetapi ia dapat dilakukan kerana kita lihat ada tahap kecekapan yang baik, hasil lebih baik.

“Mengelakkan daripada ketirisan yang pernah berlaku atau kelompok yang besar umpamanya penyeludupan yang mengelak daripada pembayaran cukai, ini kalau dapat dikurangkan maka pulangan kepada rakyat itu lebih baik,” katanya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyenaraikan harga minyak seliter di beberapa negara antaranya, Arab Saudi (RM2.61), Indonesia (RM3.22), Filipina (RM4.22), Thailand (RM5.68) dan Singapura (RM9.02).-BH Online