KUALA LUMPUR, 22 September – Malaysia menerima 21 aset pertahanan daripada Jepun, merangkumi 14 pesawat tanpa pemandu (UAV) dan tujuh bot penyelamat bernilai RM12.63 juta kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, komitmen itu sekali gus memperkukuh hubungan diplomasi pertahanan, selain mencerminkan kepercayaan serta visi bersama kedua-dua negara, khususnya dalam menyokong kestabilan serantau berdepan cabaran yang semakin kompleks.
“Semua negara kini memahami dalam berdepan cabaran hari ini, tiada satu pun negara boleh berdiri sendiri. Lebih-lebih lagi di Asia Tenggara termasuk kawasan Indo-Pasifik dan Laut China Selatan, laluan perdagangan yang amat penting kepada ekonomi dunia.
“Daripada jumlah UAV yang diserahkan, enam diagihkan kepada Tentera Darat, enam kepada Tentera Laut Diraja Malaysia dan dua lagi kepada Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan. Beberapa unit telah diterima, manakala selebihnya masih dalam proses penghantaran.
“Selain itu, dua trak pengangkut turut berada pada peringkat tender dan akan melengkapkan lagi pakej bantuan tersebut”, katanya.
Tambahnya, pada Mei lalu, seramai 12 pegawai ATM telah menamatkan latihan UAV di Jepun.
“Latihan lanjutan pula akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah serta di Sungai Buloh, Selangor bagi memastikan anggota ATM benar-benar bersedia mengendalikan teknologi berkenaan”, katanya berucap pada Majlis Penerimaan UAV di Kompleks Haigate ATM, hari ini.
Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki.
Pada masa sama, beliau berkata ini bukan kali pertama Malaysia menerima bantuan pertahanan daripada negara luar.
Sebelum ini, Malaysia juga menjalin kerjasama dengan Jerman, Australia dan Amerika Syarikat (AS) dalam memperkukuh sektor pertahanan negara.
“Ke hadapan, kita akan terus meneroka bidang baharu dalam sektor keselamatan ini termasuk kecerdasan buatan, pertahanan siber serta inovasi demi keamanan dan kemakmuran mampan,” tambah beliau.
Malaysia merupakan antara penerima terawal aset tersebut di bawah inisiatif Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA), Jepun 2023.
Sementara itu, Shikata Noriyuki menyifatkan penyerahan bantuan ini sebagai detik bersejarah dalam hubungan keselamatan antara kedua-dua negara.
“Memandangkan Malaysia terletak di kawasan penting bagi Jepun, iaitu berhadapan dengan Laut China Selatan dan Selat Melaka, kerjasama dengan Malaysia amat penting bagi Jepun.
“Hubungan Jepun-Malaysia berasaskan kepercayaan dan persahabatan. Kami menantikan peluang untuk memperluas kerjasama keselamatan ini”, ujarnya.-Berita RTM