IPOH, 22 September – Graduan kolej kejururawatan terlatih akan dilantik secara tetap bagi mengisi kekurangan lebih 14,000 jururawat di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah baharu itu menggantikan sistem kontrak interim yang diamalkan sebelum ini, sekali gus memberi jaminan kerjaya lebih stabil kepada graduan seelain mengukuhkan perkhidmatan kesihatan negara.
“Pengambilan jururawat pelatih juga ditingkatkan daripada 1,000 kepada 3,000 setahun, iaitu lonjakan 200 peratus. Malah, siri libat urus akan diadakan bagi menarik lebih ramai menyertai KKM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Istiadat Konvokesyen Graduan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di ILKKM Sultan Azlan Shah, Ipoh.
Datuk Seri Dr Dzulkefly menegaskan, langkah tersebut adalah sebahagian daripada komitmen KKM membekalkan 18,000 kakitangan profesional menjelang 2030, bagi memastikan sistem kesihatan negara terus berdaya saing.
Beliau turut mengakui wujud kekurangan lebih 14,000 jururawat di seluruh negara, berdasarkan data sehingga 30 Ogos lalu yang merekodkan sebanyak 69,158 jawatan jururawat telah diisi daripada keseluruhan 83,158 jawatan yang diperuntukkan.
Bagi mengatasi cabaran itu, beberapa langkah agresif digerakkan termasuk menambah pengambilan jururawat pelatih serta mengadakan siri lawatan dan libat urus bagi menarik lebih ramai tenaga kerja baharu menyertai KKM.-BH Online