Cadangan pembinaan jajaran baharu lebuh raya di Perak diharap dapat diberikan perhatian dalam Belanjawan 2026 sebagai usaha merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata projek tersebut amat penting bagi memperkukuh kedudukan Perak sebagai hab industri automotif elektrik dan logistik utama negara.
“Jadi kita harap kementerian akan beri keutamaan itulah, sebab yang penting bila semua dah ada ini, kita perlukan jalan raya, jalan penghubung yang baik…satu, kita nak sambungkan di antara Tanjung Malim ke WCE,West Coast Expressway (Lebuhraya Pantai Barat) sebab ada ‘connection’ (hubungan),” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Kemuncak Karnival Mesra Anak Muda 2025 yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Menurut Saarani, pembinaan jajaran baharu itu bukan sahaja akan memperkukuh rangkaian jalan raya negeri, malah turut memastikan kelancaran urusan eksport menerusi Lumut Port serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat tempatan.-BH Online