KUALA BERANG: Hanya satu peratus gas butana dikesan masih bebas dalam udara di lokasi kebocaran gas di tapak projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Seksyen 5, Kampung Chabang, Kerteh, Kemaman.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, keadaan itu bagaimanapun terkawal dan selamat.
Katanya, gas butana yang berada di udara boleh berubah sifatnya bergantung kepada faktor cuaca.
“Bagi memastikan keadaan semakin pulih, PETRONAS akan memasang dua pembakar mudah alih di lokasi.
“Satu pembakar mudah alih sudah dipasang pada awal pagi tadi dan satu lagi akan dipasang sebaik ia tiba dari Kulim, Kedah, dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada majlis Penutup Program Kolaborasi Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) bersama JBPM di Hutan Lipur Sekayu, di sini, hari ini.
Nor Hisham berkata, pihaknya mengesan masih terdapat satu peratus gas butana dalam kandungan udara pada jarak 400 meter dan bagi mengelak risiko, pihaknya masih kekalkan jarak pada 500 meter.
“PETRONAS mempunyai keupayaan untuk mengelakkan daripada berlaku letusan sebab saya katakan tadi, di jarak 400 meter kita masih kesan satu peratus kandungan butana dalam udara dan sebagai pertimbangan risiko kita masih kekalkan jarak 500 meter”, katanya.
Beliau berkata, laluan dari Kerteh ke Kampung Ranggon, Kemaman ketika ini masih ditutup sementara kepada semua kenderaan susulan insiden kebocoran paip gas berkenaan.
Semalam dilaporkan satu kejadian kebocoran paip gas berlaku di tapak pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen Lima, dekat Kerteh, kira-kira jam 9.53 pagi.
Kejadian kebocoran gas itu dilaporkan berlaku kira-kira dua kilometer dari laluan utama dan tidak membabitkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk.
Dalam perkembangan lain, Nor Hisham berkata, JBPM berada keadaan siap siaga menghadapi musim tengkujuh.
Katanya, seramai lebih 24,00 anggota dan pegawai termasuk pegawai sepenuh masa, pegawai bomba sukarela, bomba bantuan, dan pasukan komuniti iaitu pasukan Tindakan kecemasan (CERT) digerakkan menjelang Monsun Timur Laut (MTL) nanti bagi memperkukuh keupayaan operasi.
“JBPM juga menyediakan 431 bot penyelamat, 16 buah bot mencari dan menyelamat, 417 kenderaan angkut ringan roda, 119 kenderaan angkut berat dan sembilan buah helikopter,” katanya.
Katanya, agensi itu juga turut menyediakan sebanyak 150 unit bot beserta enjin di kawasan berisiko di seluruh negara.-BH Online