Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU, 21 September – Lebih 5,900 keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara bakal menerima manfaat melalui pelaksanaan Program Kem Santuni MADANI, termasuk di Kem Lok Kawi, Sabah.

Program berkenaan dilaksanakan Kementerian Pertahanan bersama ATM melalui Markas 5 Divisyen dengan sokongan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), sempena Sambutan Hari Malaysia dan Hari Angkatan Tentera Malaysia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata inisiatif itu mencerminkan aspirasi Malaysia MADANI dengan memberi fokus kepada kebajikan warga ATM dan keluarga mereka.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan tahap kesiagaan, lebih-lebih lagi ketika menghadapi bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.

“ATM sentiasa memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat ketika berdepan situasi kecemasan,” katanya.

Antara pengisian utama program ialah perasmian blok baharu Sekolah Kebangsaan Kem Lok Kawi bernilai RM3.06 juta, penyerahan cek cura RM25,000 masing-masing kepada SK Kem Lok Kawi dan SK Kem Tentera Sandakan, serta bantuan kewangan RM15,000 kepada 30 keluarga ATM yang kurang berkemampuan atau menghadapi masalah kesihatan kritikal.

Selain itu, projek penghasilan madu kelulut diusahakan Pasukan 3 RAMD turut diperkenalkan dengan kerjasama Boustead Plantations Berhad (BPlant), Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Kemudahan infrastruktur Masjid As-Salam di kem itu juga dinaik taraf dengan kos lebih RM150,000, termasuk penyerahan wakaf al-Quran secara simbolik.

Program Sekolah Angkat MADANI yang kini melibatkan 38 sekolah di kem ATM seluruh negara dengan jumlah peruntukan RM950,000, merupakan antara inisiatif yang diterajui LTAT bersama 14 syarikat kumpulannya bagi memperkukuh kesejahteraan warga tentera.-Berita RTM