Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dijadualkan bermula 22 hingga 26 September 2025 menghimpunkan Menteri Ekonomi ASEAN dan rakan dialog untuk membincangkan usaha memajukan lagi integrasi ekonomi serantau dan menangani isu perdagangan serta pelaburan utama.

Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bersedia untuk penganjuran AEM selama lima hari itu yang akan diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Mesyuarat AEM dan mesyuarat berkaitan itu akan membuka tirainya dengan Mesyuarat Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) kelima dan Mesyuarat Penyediaan Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN (Prep-SEOM) bagi AEM ke-57.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadualkan akan mempengerusikan AGTF kelima itu.

Difahamkan, mesyuarat itu akan membincangkan isu geopolitik dan bagaimana ia memberi kesan kepada ekonomi di rantau ini.

Pelbagai agenda penting serantau dan global akan turut dibincangkan sepanjang acara lima hari termasuk Mesyuarat AEM dengan Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) ke-39 dan Majlis Kawasan Pelaburan ASEAN (AIA) ke-28.

Turut termasuk Konsultasi AEM dengan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan Konsultasi AEM dengan Perwakilan Perdagangan Amerika Syarikat (USTR).

Mesyuarat yang akan diadakan dijangka memberi peluang kepada menteri untuk membincangkan isu ekonomi global dan serantau, mengambil kira pencapaian ekonomi serantau dan meneroka cara untuk mengembangkan kerjasama ekonomi yang akan menyumbang kepada perjalanan integrasi ekonomi serantau ASEAN. 

Pada penganjuran AEM ke-57 itu juga akan diadakan Mesyuarat Menteri Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) keempat.

Antara isu yang akan dibincangkan ialah permintaan negara yang ingin menyertai RCEP dengan antaranya adalah Hong Kong.

Mesyuarat RCEP keempat itu juga turut membincangkan mengenai persediaan mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN-RCEP bulan depan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.-BH Online