KOTA KINABALU: Skuad Sukarelawan Barisan Nasional (BN) Sabah dilancarkan secara rasmi hari ini bagi melaksanakan kerja kesukarelawanan pasca bencana bagi membantu mangsa banjir dan tanah runtuh di beberapa daerah di negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pasukan yang mula turun padang di kawasan terjejas bencana sejak beberapa hari lalu juga akan didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan rasmi.
Katanya, ia inisiatif BN Sabah untuk membantu rakyat negeri ini yang menghadapi kesukaran selepas bencana seperti membersihkan rumah dengan menyediakan tenaga dan peralatan diperlukan.
“Skuad ini berjalan sejak Khamis lalu ketika saya pergi ke kawasan banjir dan tanah runtuh di beberapa daerah.
“Daripada situ, BN Sabah mencadangkan supaya skuad ini terus diwujudkan secara rasmi dan pelancarannya dibuat hari ini,” katanya kepada media selepas melancarkan skuad berkenaan di hadapan Bangunan UMNO Sabah, di sini, petang ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Sabah yang juga Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ahmad Zahid berkata, skuad berkenaan sudah bergerak di lapangan dengan empat lori tangki digerakkan ke kawasan yang perlu dibersihkan.
“Jumlahnya sekarang bertambah lapan atau sembilan lori tangki yang pergi ke kawasan dan rumah perlu dibersihkan.
“Kita juga membeli ‘water jet’ yang diagihkan kepada skuad Sukarelawan BN Sabah ini.
“Kita akan jadikan skuad ini berdaftar dan digerakkan di 25 kawasan Parlimen di seluruh Sabah. Ia akan berjalan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang akan menyelaras bersama-sama skuad ini ke kawasan tertentu jika berlaku bencana,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, usaha juga diambil bagi membantu rakyat yang mengalami kerosakan rumah bagi memastikan kediaman itu dibaik pulih atau dibina semula.
“Saya dapat senarai rumah yang rosak teruk, ranap dan tidak boleh digunakan lagi.
“Jadi, bantuan membina semula rumah akan kita usahakan, selain rumah yang perlu dibaiki.
“Pihak Giat MARA pula akan membantu 4,000 rumah untuk pendawaian semula di kawasan terbabit,” katanya.
Ahmad Zahid menyifatkan inisiatif dilaksanakan BN Sabah itu sejajar konsep parti itu yang tidak bermusim dalam menggerakkan usaha membantu rakyat.
“Kita adalah parti tanpa musim dan skuad ini akan berada di mana-mana di Sabah jika berlaku bencana. Kalau ada hujan dan banjir, ramai orang turun tetapi BN sebagai parti tanpa musim, akan tetap bersama rakyat terutama mangsa selepas peristiwa bencana,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, skuad itu terbuka kepada sesiapa saja, termasuk ahli parti lain, selain BN.
Sementara itu, Bung Moktar menyifatkan penubuhan Skuad Sukarelawan BN Sabah sebagai inisiatif yang tepat sejajar keperluan negeri ini menghadapi bencana yang dikenal pasti banyak berlaku terutama antara September hingga Januari.
“Jadi, dengan keprihatinan BN tahun ini membantu mangsa membuat pembersihan oleh Skuad Sukarelawan BN Sabah di Papar, Penampang, Beaufort, Kimanis dan Putatan,” katanya.-BH Online