BUTTERWORTH: Kementerian Pengangkutan (MOT) mahu mempercepatkan projek pembinaan landasan kereta api tambahan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) bagi meningkatkan kecekapan operasi logistik sekali gus mengatasi isu kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar pelabuhan tersebut.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata projek tersebut membabitkan pemanjangan landasan sedia ada kepada 1,010 meter daripada 500 meter, bagi memastikan keseluruhan rangkaian gerabak kereta api dapat dimuatkan sepenuhnya di dalam kawasan pelabuhan tanpa mengganggu lalu lintas di jalan raya luar.
“Objektif utama kami adalah bagi melaksanakan projek ini secepat mungkin. Apabila keseluruhan landasan berada di dalam kawasan pelabuhan, proses pemunggahan kontena boleh dilakukan dengan lebih efisien.
“Ketika ini, landasan sedia ada hanya mampu memuatkan kira-kira 30 daripada 50 gerabak, manakala baki 20 gerabak terpaksa berada di luar kawasan pelabuhan, menyebabkan gangguan kepada lalu lintas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Program Latihan dan Profesionalisme Industri Pelabuhan dan Haulier (PATH) di sini, hari ini.
Loke berkata, MOT berhasrat memilih kaedah usaha sama strategik bagi melaksanakan projek tersebut secepat mungkin dengan kos lebih efektif memandangkan pendekatan konvensional memerlukan permohonan bajet dan pelaksanaan tender yang mungkin mengambil masa panjang.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang berbincang dengan operator pelabuhan, termasuk MMC Ports dan Penang Port untuk berkongsi kos pelaksanaan dengan sebahagian kos mungkin ditanggung oleh operator dan sebahagian lagi oleh MOT.
Beliau turut menjelaskan bahawa Railways Asset Corporation (RAC) juga akan memainkan peranan dalam penyediaan bahan dan aset sedia ada seperti landasan terpakai dan ‘slippers’ yang boleh digunakan semula, sekali gus menjimatkan kos pembinaan.
“Kita ada aset-aset lama hasil daripada projek naik taraf sebelum ini, jika bahan-bahan itu boleh disediakan segera hanya kontraktor diperlukan untuk kerja pemasangan. Ini akan mempercepatkan dan kos efektif dalam pelaksanaan projek tersebut,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, MOT menyasarkan lebih 1,000 pemandu trak di seluruh negara memperoleh lesen memandu kelas E tahun ini menerusi PATH selepas program itu berjaya melesenkan 600 pemandu sejak diperkenalkan tahun lalu.
Beliau berkata, program membabitkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta itu bertujuan meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran pemandu sedia ada terutamanya mereka yang sudah berpengalaman mengendalikan jentera berat di kawasan pelabuhan tetapi tidak memiliki lesen.
“Pemandu di pelabuhan dibenarkan memandu trak dalam kawasan terkawal tanpa lesen E, jadi mereka tidak boleh keluar ke jalan raya umum. Kekangan utama mereka untuk mendapatkan lesen ini adalah disebabkan kos yang tinggi.
“Dengan adanya pengalaman sedia ada, program ini hanya perlu melengkapkan mereka dengan lesen rasmi untuk menjadikan mereka lebih kompeten dan meningkatkan kebolehpasaran mereka di luar kawasan pelabuhan,” katanya.
Beliau berkata, PATH turut mempunyai matlamat membantu mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan baharu, khususnya kepada belia dan tenaga kerja tempatan dalam sektor logistik yang pesat membangun.-BH Online