Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung ugutan penyebaran video ‘deepfake’ yang menyasarkan beberapa ahli parlimen, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata bantuan teknikal akan diberikan bagi mengenal pasti dalang di sebalik e-mel ugutan terbabit.

Siasatan boleh dijalankan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, khasnya atas kesalahan penyalahgunaan internet dan kandungan palsu.

Masyarakat turut diseru lebih berwaspada menilai kandungan digital, ekoran teknologi ‘deepfake’ yang semakin canggih dan mudah disalahgunakan.

“Kita perlu faham dan kita perlu sedar bahawa teknologi ‘deepfake’ ini semakin bertambah baik. Hasil kualiti video ataupun gambar ini tak tinggi, tak ‘real’. Tetapi tak semestinya video-video ataupun imej-imej lain yang kami bakal terima pada masa yang akan datang, juga standard yang sama. Tetapi, mungkin akan rasa sangat ‘real’. Jadi bagaimana kita perlu pandai untuk buat semakan, itu sangat penting,” kata beliau pada sidang media selepas lawatan tapak Projek Sinar Harapan di Gelanggang Taman Impian Senai, di sini malam tadi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dilaporkan menjadi mangsa ugutan siber berunsur pornografi, menggunakan teknologi kecerdasan buatan (A.I).

Insiden sama turut menimpa Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli serta Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, sebelum ini.-Berita RTM