KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar segala isu yang masih belum selesai berkaitan ketegangan antara Thailand dengan Kemboja, dibawa ke meja rundingan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC).
Perdana Menteri berkata, Malaysia percaya semangat dialog, diplomasi dan persefahaman sesama rakan ASEAN, adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan sebarang bentuk pertikaian.
Perkara itu dinyatakan beliau selepas menghubungi rakan sejawat di Kemboja melalui panggilan telefon, semalam.
“Semalam, saya turut berkesempatan bercakap dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, bagi mendapatkan gambaran serta perkembangan terkini di sempadan Thailand-Kemboja.
“Saya menyeru agar segala isu yang masih belum selesai, dibawa ke meja rundingan melalui JBC,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, malam ini.
Terdahulu, Anwar memaklumkan bahawa Malaysia telah mengadakan perbincangan lanjut dengan kedua-dua pemimpin negara itu susulan ketegangan yang berlaku.
Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri Kemboja mendakwa tentera Thailand menghalang lebih 20 keluarga untuk kembali ke rumah mereka di kawasan sempadan yang dipertikai, seperti dinyatakan dalam surat beliau kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jurucakap tentera Thailand, Winthai Suvaree, pula mendakwa penduduk Kemboja telah terbabit dalam insiden keganasan dan mencetuskan kekecohan dengan sengaja, selain bertindak menduduki wilayah Thailand secara haram.null
Pada Julai lalu, Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata dengan Malaysia sebagai mediator, selepas pertempuran berlaku antara kedua-dua negara itu yang mengorbankan 33 nyawa.-BH Online