KUALA LUMPUR: Kementerian Digital akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkukuh kerjasama dalam menonjolkan kekuatan akademia Malaysia dalam bidang kecerdasan buatan (AI) di pentas dunia.
Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata Malaysia mempunyai bakat tempatan yang luar biasa dalam pendidikan mengenai AI dan kementeriannya bercadang menganjurkan program bagi mempamerkan keupayaan Malaysia dalam bidang itu bersama rakan global.
“Sudah tiba masanya kita bincang bersama-sama KPM dan KPT berkaitan kemungkinan kita buat satu acara bersama (dengan kerjasama) rakan global untuk menonjolkan kekuatan Malaysia dari sudut akademia (dalam bidang AI) di pentas dunia.
“Kita boleh menonjolkan Malaysia bukan saja ada infrastruktur, tetapi juga (ada keupayaan) dari sudut pendidikan dan kekuatan pelajar untuk menonjolkan Malaysia sebagai hab pendidikan AI,” katanya selepas melancarkan program Great Malaysia AI Hackathon 2025 anjuran Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) di sini hari ini.
Program yang berjaya memasuki ASEAN Records bagi kategori Largest On-Site AI Hackathonitu itu diadakan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Amazon Web Services (AWS).
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif APU, Datuk Parmjit Singh; Naib Presiden Penerimagunaan Digital MDEC, Wan Murdani Wan Mohamad dan penceramah jemputan.
Mengulas program itu, Gobind berkata, penganjurannya selari dengan dasar kementerian untuk menonjolkan dan menggalakkan inovasi AI.
“Kita semua tahu dunia teknologi hari ini, kita perlu memberikan fokus kepada (kaedah sesuatu) teknologi dapat menyelesaikan masalah yang kita hadapi, dulu tidak dapat diselesaikan kerana tidak ada data dan teknologi yang memadai.
“Tetapi kini, kita lihat dengan terbinanya ekosistem AI di Malaysia termasuk infrastruktur yang betul (sesuai) dan paling utama (keupayaan) membina bakat, kita boleh menggunakan teknologi dan data untuk membina penyelesaian digital,” katanya.
Gobind berkata, melalui penganjuran ‘hackathon’ itu, program berkenaan dapat membantu inovasi AI berkembang pesat di Malaysia dan usaha seperti ini harus dijadikan contoh semua pihak industri.
Sementara itu, APU dalam kenyataan berkata, sejumlah 1,741 peserta iaitu 1,547 pelajar universiti dan 194 profesional industri menyertai ‘hackathon’ itu yang menghimpunkan ekosistem bakat masa depan, akademia dan peneraju industri untuk memacu ekonomi digital Malaysia.
Sebagai satu daripada ‘hackathon’ universiti yang dikuasakan AWS terbesar di Asia Pasific, acara itu turut membabitkan 20 mentor industri dan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM110,000. – BERNAMA