KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menegaskan sebarang taktik penipuan membabitkan pekerja asing yang menjalani pemeriksaan kesihatan di bawah Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) tidak akan mampu bertahan lama.
Katanya, sistem saringan kesihatan di negara ini dilaksanakan secara ketat dengan filem X-ray diperiksa teliti oleh pakar perubatan bagi memastikan sebarang penyelewengan dapat dikesan.
“Kalau dia boleh menipu awalnya, dia tidak akan boleh menipu selamanya. Kita ada saringan yang sangat ketat. Filem X-ray itu diperhatikan oleh pakar-pakar kami.
“Apapun imej yang tidak jelas, pakar akan menelitinya sebelum membuat penentuan,” katanya ketika diminta mengulas laporan berhubung isu berkenaan pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Kebangsaan 2025, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan dakwaan kewujudan taktik penipuan dalam kalangan pekerja asing ketika menjalani pemeriksaan kesihatan, sekali gus menimbulkan kebimbangan risiko penularan penyakit berjangkit dalam masyarakat.
Mengulas lanjut, Dzulkefly menegaskan, walaupun mungkin terdapat kelemahan kecil, pihak berwajib sentiasa melakukan penambahbaikan bagi mengelakkan ruang manipulasi dalam proses pemeriksaan kesihatan pekerja asing.
“Antara usaha yang sedang ditambah baik adalah penggunaan pendekatan biometrik, termasuk sistem cap jari yang diyakini mampu meningkatkan ketelusan dan integriti pemeriksaan.
“Saya yakin dengan ketelitian dan kerapian pihak yang bertanggungjawab, sebarang cubaan menipu tetap dapat dikesan. Semua ini kita sentiasa perbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Dzulkefly berkata sembilan fasiliti kesihatan di Sabah terjejas akibat banjir baru-baru ini, namun lapan daripadanya sudah kembali beroperasi sepenuhnya mulai semalam.
Kanya, satu fasiliti masih dalam proses pembersihan adalah Klinik Desa Gadong Papar.
” Saya boleh sebutkan Klinik Kesihatan ataupun fasiliti Klinik Desa (KD) termasuk KD Gadung di Beaufort sudah pulih dan mula beroperasi.
“Fasiliti yang turut kembali beroperasi ialah Klinik Desa Gadong, Padas Lamit, Bangkalalak dan Lingkungan di Beaufort selain Klinik Kesihatan Membakut, Klinik Desa Sinoko, Klinik Desa Pantai serta Klinik Kesihatan Mendulong di Sipitang,” katanya.
Dzulkefly berkata di Penampang, sebanyak 14 lokaliti terbabit sejak 11 September dengan satu kejadian di Kampung Sarapung mengorbankan seorang mangsa.
“Kerajaan melalui KKM dan agensi berkaitan memberi jaminan akan terus menyalurkan bantuan serta memastikan perkhidmatan kesihatan di kawasan terjejas dapat dipulihkan segera,” katanya.-BH Online